Makanan yang diambil mampu menentukan tahap kesihatan badan dan mempengaruhi kecantikan kulit. Ada kalanya, alah terhadap kekacang atau makanan laut boleh menyebabkan jerawat atau ruam jika diambil dalam diet harian.

Bukan itu saja, jenis makanan yang diamalkan saban hari turut menentukan keadaan kulit sendiri sama ada kelihatan lebih muda daripada usia sebenar ataupun sebaliknya.

Justeru, ada beberapa jenis makanan yang boleh diamalkan untuk membantu mendapatkan kulit yang cantik. Namun, pastikan setiap makanan yang diambil perlu seimbang agar melengkapi khasiat diperlukan badan.

Ikan salmon

Pengarah Kosmetik dan Penyelidikan Klinikal (Dermatologi) Hospital Mount Sinai New York City Joshua Zeichner berkata, ikan salmon kaya dengan antioksidan yang membantu mengurangkan keradangan.

“Asid lemak berfungsi seperti blok binaan untuk sel kulit yang sihat. Memandangkan tubuh kita tidak mempunyai keupayaan mengeluarkan asid lemak, pengambilan ikan salmon membantu menguatkan pertahanan kulit dan mengekalkan lembapan serta mengurangkan rengsa,” katanya.

Tembikai

Kandungan air yang tinggi dalam tembikai membantu membendung masalah bengkak di sekitar mata. Selain itu, tidak perlu risau mengenai tahap glukos yang tinggi kerana tembikai mengandungi tahap gula yang rendah di samping tidak memberi tindak balas kimia kepada kolagen yang menyebabkan kesan kedutan pada wajah.

Teh hijau

Teh hijau mengandungi polifenol, menjadikannya sumber antioksidan dan antiradang yang boleh digunakan sebagai penyegar terbaik untuk membantu merawat masalah jerawat.

Ia juga baik sebagai agen penyembuhan parut dan cela, mengeluarkan toksin berbahaya serta menampilkan kulit yang halus. Kandungan vitamin K dalam teh hijau membantu mengurangkan kesan bulatan hitam bawah mata.

Caranya juga mudah iaitu dengan meletakkan uncang teh hijau ke dalam peti sejuk sebelum meletakkannya di bawah mata sebagai rawatan secara semula jadi.

Tomato

Tomato kaya dengan likopena iaitu antioksidan yang membantu melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran UV. Malah, satu kajian dalam British Journal of Dermatology menemui individu yang makan lima sudu besar pes tomato setiap hari mampu melindungi kulit mereka daripada kesan selaran matahari sebanyak 33 peratus berbanding individu yang tidak makan tomato.

Lobak merah

Ia tinggi dengan kandungan beta-karotena, sumber kepada vitamin A yang memberi manfaat sebagai antijerawat dan banyak digunakan dalam produk akne (dikenali Retin-A).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 1:06 PM