Reuters

Bandaraya Mexic: Lewis Hamilton (gambar) menakluk petak pertama Grand Prix Mexico semalam dengan catatan sepusingan terpantas sebelum rakan sepasukan Mercedes yang juga juara pilihan Nico Rosberg menampilkan catatan terbaiknya pada saat akhir menyertainya di barisan hadapan.

Juara dunia Formula Satu tiga kali itu meraih petak pertama ke-59 sepanjang kariernya dan ke-10 musim ini di Autodromo Hermanos Rodriguez dengan catatan terbaik satu minit 18.704 saat.

“Saya datang untuk melaksanakan tugas ini dan mencuba perkara seperti yang dilakukan minggu lalu. Hujung minggu setakat ini berjalan lancar dan tidak sabar menunggu perlumbaan. Kereta begitu hebat,” kata pemandu Britain itu yang muncul juara di Texas hujung minggu lalu.

Rosberg, pemenang tahun lalu dari petak pertama di Mexico, mendahului 26 mata dengan baki tiga perlumbaan dan akan menjulang gelaran hari ini sekiranya Hamilton gagal menamatkan perlumbaan di kedudukan sembilan teratas.

Pelumba Jerman itu bergelut memburu prestasi sewaktu latihan dan peringkat awal kelayakan dan hampir menduduki petak keempat sebelum catatan 1:18.958s pada saat akhir menyelamatkan keadaan.

“Catatan sepusingan Lewis memang hebat, tidak seperti saya tapi saya puas hati dengan catatan terakhir itu,” kata Rosberg.

“Saya mengambil masa lebih lama hujung minggu ini untuk mencari jalan, cuba menyesuaikan dengan suhu tayar sepanjang minggu ini tapi kami berjaya menyelesaikannya.”

Rosberg hanya mencatat masa keempat terpantas pada kelayakan pertama dan kelima pada kelayakan kedua.

Hamilton yang berkata dia gembira dengan kejayaan Mercedes menyapu bersih barisan hadapan biarpun bahasa tubuhnya membayangkan kekecewaannya apabila Rosberg berjaya melepaskan diri pada saat akhir, berkata sesi terakhirnya itu adalah yang terburuk hujung minggu ini.

“Namun saya sedar apabila melangkah ke hari esok (hari ini) kami mempunyai strategi yang betul dan saya fikir kereta berada dalam kedudukan terbaik untuk perlumbaan,” . ujarnya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 12:05 PM