Kira-kira 30 orang penduduk dari Kampung Laut, Tumpat membuat demonstrasi aman di luar SUK terhadap Kerajaan Negeri yang mengambil tanah mereka untuk projek Warisan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kira-kira 30 orang penduduk dari Kampung Laut, Tumpat membuat demonstrasi aman di luar SUK terhadap Kerajaan Negeri yang mengambil tanah mereka untuk projek Warisan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Kira-kira 30 penduduk Kampung Laut, Tumpat mengadakan demonstrasi di pekarangan Pejabat Kerajaan Negeri (SUK) di sini, bagi membantah pengambilan tanah mereka untuk dibangunkan Projek Warisan.

Demonstrasi selama sejam itu menuntut kerajaan negeri menyelesaikan segera kemelut berkenaan yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Malah memorandum bantahan sudah dihantar lebih sebulan lalu

Wakil penduduk, Nik Mohd Ghazi Abdullah, 50, berkata, kira-kira 1.2 hektar tanah milik penduduk mahu diambil kerajaan negeri untuk dibangunkan sebagai tapak warisan negeri iaitu pemprosesan serunding dan dodol,

"Ada 13 keluarga yang terbabit dan kami melihat tindakan ini sebagai sangat tidak wajar memandangkan tapak tanah itu adalah terun temurun daripada nenek moyang yang anak jati Kampung Laut.

"Usianya pun sudah lebih 100 tahun. Kerajaan negeri sepatutnya kekalkan itu sebagai sejarah kampung," katanya ketika ditemui ketika demonstrasi itu, hari ini.

Nik Mohd Ghazi mendakwa, meskipun mereka dijanjikan penempatan baru di kawasan berhampiran dan sedikit pampasan, ia masih tidak memadai.

Mereka menuntut kerajaan negeri memikirkan kembali hasrat mengambil tanah itu dan memilih tapak lain yang tidak membabitkan penempatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 4:52 PM