Badrila JamlusSyarifah Dayana Syed BakriSri Ayu Kartika AmriAfiq HanifHafiz Ithnin dan Sofyan Rizal Ishak dan Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Permintaan untuk memiliki rumah terus mengukuh disokong peningkatan isi rumah kepada 7.4 juta pada 2015 dan peratusan golongan pekerja muda yang tinggi.

Memandangkan kemampuan memiliki rumah bergantung kepada faktor pendapatan dan harga, maka ramai isi rumah berpendapatan rendah terutama yang menetap di bandar tidak mampu memiliki hartanah berikutan harga yang tinggi.

Bagi tempoh 2009 hingga 2014, harga purata rumah meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 7.9 peratus melebihi kadar 7.3 peratus pertumbuhan purata pendapatan isi rumah.

Ketidakseimbangan kadar pertumbuhan antara harga rumah dan pendapatan menjejaskan kemampuan untuk memiliki rumah khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Berdasarkan International Housing Affordability Survey, harga kediaman di Malaysia, secara agregat dianggap sangat tidak mampu milik dengan beberapa negeri utama mencatatkan kadar pertumbuhan tidak sekata antara harga rumah dan pendapatan.

Bagi memenuhi permintaan rumah mampu milik yang semakin meningkat, kerajaan melaksanakan Dasar Perumahan Negara dan menubuhkan Majlis Perumahan Negara bagi memperkemas sistem penyampaian dan memupuk industri perumahan yang aktif.

Sehingga Disember 2015, sebanyak 183,755 unit rumah mampu milik siap dibina manakala, 214,011 dalam peringkat pembinaan dan 309,571 unit dalam perancangan.

Bagi mengekang aktiviti spekulasi, kerajaan memansuhkan Skim Pemaju Tanggung Faedah (DIBS) yang menyebabkan harga rumah melonjak kerana pemaju mengambil kira kos faedah pinjaman pembeli rumah dalam tempoh pembinaan dan diserapkan dalam harga jualan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:06 AM