ANTARA rumah mampu milik yang dibina.
ANTARA rumah mampu milik yang dibina.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


HAK kepada perumahan yang mencukupi dan mampu milik diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai keperluan asas manusia serta ukuran utama bagi sesebuah kesejahteraan.

Di Malaysia juga tidak terkecuali. Pengecualian penuh duti setem yang berterusan bagi rumah pertama di bawah RM500,000 dan kelulusan sebanyak 67,944 pembinaan unit mampu milik pada tahun ini (di Wilayah Persekutuan sahaja) mencerminkan komitmen kerajaan dan bantuan yang diperlukan pembeli rumah pertama.

Kajian di seluruh dunia juga mendapati bahawa harga rumah median berhubung kait sebanyak 60 peratus hingga 95 peratus dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, kerana pulangan modal hartanah menggambarkan pendapatan yang mesti terkumpul untuk membeli rumah.

Dalam jangka pendek dan sederhana, dinamik hartanah bukan sahaja didorongi kemajuan negara, tetapi bergantung kepada penentu lain termasuk kadar urbanisasi, aktiviti pembinaan dan perubahan demografik yang semuanya mempengaruhi permintaan serta penawaran secara sementara.

Pada tahun lalu, sebanyak 58 peratus atau sekitar RM797 bilion daripada hutang isi rumah negara adalah daripada perumahan.

Manakala kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini, bertujuan untuk mengurangkan inflasi daripada perbelanjaan dan pinjaman yang kian meningkat, mempunyai pengaruh tidak dapat dielakkan kepada kadar asas bank dan selanjutnya ke atas pinjaman perumahan.

Pembeli rumah cenderung menjadi lebih sensitif terhadap kenaikan kadar dalam persekitaran inflasi kerana pada setiap kenaikan 25 mata asas (bps) dalam OPR akan menyebabkan kenaikan 3.2 hingga 3.5 peratus dalam bayaran balik gadai janji bulanan.

Oleh itu, ramai dalam kumpulan B40 atas dan M40 yang tidak layak atau tidak dipilih dalam skim perumahan kerajaan seperti rumah pangsa Program Perumahan Rakyat dan kediaman PR1MA, dipaksa masuk dalam pasaran persendirian yang semakin mahal.

BANTUAN teknologi seperti IBS untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.
BANTUAN teknologi seperti IBS untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.

Menurut syarikat pemaju terkenal, Lagenda Properties, impak sosial yang negatif disebabkan kekurangan perumahan mampu milik itu seharusnya tidak boleh diendahkan.

Ini kerana katanya, keperluan perumahan yang tidak ditunaikan, kebolehhidupan yang rendah daripada kekurangan kemudahan asas komunal jelas memberi kesan negatif kepada kesihatan dan meningkatkan beban kewangan dalam sistem penjagaan kesihatan.

"Keadaan perumahan yang tidak baik juga boleh mengakibatkan pengurangan peluang pendidikan yang ketara.

"Tambahan pula, perumahan mampu milik dapat menyumbang kepada pembangunan negara dengan mewujudkan pusat perumahan baharu dan bandar satelit selain membuka peluang ekonomi lebih baik kepada masyarakat setempat.

"Kesan rentetan daripada kekurangan akses kualiti, perumahan mampu milik dalam masyarakat adalah kronik dan memberi impak kepada pembangunan negara," kata syarikat itu.

Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan turut melaporkan bahawa kemelesetan akibat daripada pandemik 'menurunkan taraf' sebilangan isi rumah golongan M40.

Disebabkan 20 peratus daripada isi rumah M40 sudah berubah menjadi B40, tahap kemampuan perumahan mereka turut menurun.

Akibatnya, tuntutan produk perumahan yang terutama ditujukan untuk isi rumah M40 itu juga berkemungkinan turut menurun.

KEBANYAKAN rumah di bawah skim rumah mampu milik untuk B40 masih dianggap 'tidak mampu milik.'
KEBANYAKAN rumah di bawah skim rumah mampu milik untuk B40 masih dianggap 'tidak mampu milik.'

Pusat Maklumat Harta Tanah Negara melaporkan bahawa kebanyakan harga hartanah meningkat hampir dua kali ganda sejak 2010, peningkatan 99.3 peratus dengan sebanyak 51 peratus warga Malaysia tidak mampu membeli rumah.

Dalam pada itu, daripada 117,766 keseluruhan jumlah unit rumah baharu yang dibina pada 2020, hanya 14,094 unit atau 12 peratus adalah perumahan kos rendah atau berharga kurang daripada RM400,000.

Ia sekali gus gagal memenuhi matlamat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara untuk membina 100,000 unit kos rendah pada setiap tahun.

Walaupun kerajaan Malaysia dan syarikat pemaju cuba memenuhi tuntutan rumah mampu milik itu, masih banyak yang perlu dilakukan disebabkan kadar inflasi yang meningkat, pasca pandemik dan warga Malaysia terpaksa mengharungi ketidakpadanan antara harga perumahan secara purata dengan pendapatan isi rumah.

Beberapa tahun ini, pemaju mula melaksanakan pelancaran yang lebih kecil dan berfasa untuk memastikan unit yang ditawarkan boleh diserap pasaran.

Bagaimanapun, menurut syarikat pemaju itu, kebanyakan rumah yang dibina di bawah skim rumah mampu milik untuk populasi B40 masih dianggap 'tidak mampu milik.'

Dilaporkan bahawa kemampuan maksimum B40 di Malaysia adalah pada harga RM230,000 manakala harga purata sesebuah rumah adalah lebih daripada RM380,000, menunjukkan ketidakpadanan harga yang besar antara kemampuan dan harga rumah bagi kumpulan B40.

Penemuan itu disokong Jabatan Perumahan Negara yang melaporkan bahawa hanya satu daripada lima rumah yang diluluskan untuk pembinaan dalam masa lima tahun berharga kurang daripada RM300,000 iaitu harga siling yang ditetapkan kerajaan bagi rumah mampu milik.

Perbezaan dalam kos perumahan dan pendapatan itu didorong pemaju yang tidak dapat menyerap margin yang susut disebabkan kos pembangunan meningkat, tanah dan pematuhan ketika inflasi serta kekurangan tenaga buruh.

Justeru sebagai langkah mitigasi, syarikat pemaju berkenaan memperbaiki kecekapan dan produktiviti segmen pembinaannya dengan bantuan teknologi seperti sistem binaan berindustri (IBS) untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.

HAK kepada perumahan yang mencukupi dan mampu milik diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai keperluan asas manusia.
HAK kepada perumahan yang mencukupi dan mampu milik diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai keperluan asas manusia.

Strategi perniagaan pembinaan dan pemerolehan tanah turut diperluas selain mempelbagaikan bank tanahnya bertujuan untuk menyokong perkembangan sosioekonomi negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Jimmy Doh berkata, ketika ini pihaknya meneroka kerjasama dengan beberapa syarikat milikan kerajaan untuk membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pembekalan rumah persendirian mampu milik.

"Sebagai contoh, usahasama terbaru kami dengan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) akan membenarkan kami untuk membangunkan tanah kerajaan negeri yang tidak digunakan dan menjadikannya sebagai sebuah perbandaran mampu milik dengan lebih 2,000 unit perumahan mampu milik disediakan pada harga kurang daripada RM250,000.

"Selain daripada itu, pemaju turut boleh mengambil bahagian dalam pembangunan negara dengan meneroka proses pembinaan yang murah, cepat dan lebih cekap seperti sistem binaan berindustri yang digunakan oleh kami untuk mengendalikan amalan pembuatan yang mampan," katanya.

Menurut Jimmy lagi, pihaknya melancarkan pemilikan rumah mampu milik (secara kejuruteraan undur) berdasarkan kos pembinaan dan pendapatan purata isi rumah di kawasan perbandaran bagi kumpulan pendapatan B40 serta M40.

Unit perumahan yang dibina tidak melebihi RM250,000 bagi rumah teres satu tingkat mengikut garis panduan ditetapkan Dasar Perumahan Mampu Milik pada 2019.

Selain menjadikan rumah atas tanah menjimatkan dan impian untuk memiliki rumah menjadi kenyataan, syarikat pemaju itu juga menitikberatkan kualiti hidup yang sihat dengan pelbagai kemudahan dan ruang hijau bagi kehidupan komunal serta holistik.

"Visi kami ialah membantu rakyat Malaysia memiliki rumah. Justeru, untuk mencapai matlamat dan dalam menyokong kempen perumahan mampu milik, prinsip teras operasi mestilah sejajar dengan tanggungjawab sosial.

"Pemilik rumah adalah asas kepada sesebuah pembentukan masyarakat, mereka adalah pendorong ekonomi di kawasan berkenaan dan rumah sentiasa menjadi satu rancangan persaraan.

"Apa pun, kemampuan perumahan adalah penting kerana semua usaha pembangunan negara yang sejagat lain dibentuk atas asas pemilikan rumah dan pembinaan penempatan dalam masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 7:01 AM