DATUK Cosmas Julius Abah@Eddoi menerima Ijazah Sarjana Sastera (Linguistik) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-20 di Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
DATUK Cosmas Julius Abah@Eddoi menerima Ijazah Sarjana Sastera (Linguistik) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-20 di Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
Mohd Nazllie Zainul


BERUSIA 71 tahun dan memiliki empat cucu bukan halangan buat Datuk Cosmas Julius Abah@Eddoi menyambung pengajian, seterusnya bergelar graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menerima Ijazah Sarjana Sastera (Linguistik) pada Majlis Konvokesyen UMS ke-20 hari ini, Cosmas berkata, menyambung pengajian pada usia emas bukan mudah, namun ia antara cabaran perlu ditempuhinya.

Selain faktor usia, katanya, meneruskan pengajian dalam dua bidang berbeza juga satu daripada cabaran ketika menuntut ilmu selama lebih dua tahun di UMS.

“Sebelum ini, saya adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan kali terakhir bertugas sebagai Pengarah Jabatan Air Sabah sebelum bersara pada tahun 2003.

“Selepas bersara, saya tidak pernah terfikir menyambung pengajian tetapi beberapa tahun lalu hati saya tiba-tiba tergerak untuk menambah ilmu pengetahuan di peringkat ijazah sarjana berkaitan bahasa.

“Saya sendiri adalah penutur bahasa Kadazan Papar dan melihat bahasa ini semakin kurang dituturkan dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen, di Kota Kinabalu, hari ini.

Cosmas adalah antara 793 graduan yang menerima ijazah termasuk ijazah kedoktoran, ijazah sarjana dan diploma bagi sidang satu Majlis Konvokesyen UMS ke-20.

Seramai 5,003 graduan terdiri daripada 4,276 ijazah sarjana muda, 603 ijazah sarjana, 55 ijazah doktor falsafah dan 69 diploma menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen tahun ini.

Sementara itu, graduan kerdil, Abdul Sabah@Mohammad Saba Mohd, 50, tidak mahu kekurangan pada diri mematah semangatnya untuk menghabiskan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Sastera (Sejarah).

Memilih sejarah Pulau Timbang di pantai timur Sabah sebagai tajuk kajian, Abdul Sabah yang bertugas di Pejabat Pendidikan Sandakan menyatakan, walaupun adakalanya terdapat diskriminasi dari segi layanan berikutan kekurangan diri, semangat untuk menggenggam ijazah sarjana tidak luntur.

“Saya mahu meneruskan pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang sama pula selepas ini dan sudah mengisi borang secara atas talian.

“Selagi keinginan belajar ini masih ada, saya akan menyambung pendidikan selagi mampu,” katanya yang hadir bersama isteri dan anaknya berusia enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 3:18 PM