Pelaburan modal insan terus dipergiatkan.
Pelaburan modal insan terus dipergiatkan.
Oleh Hayati IbrahimMohd Husni Mohd Noor dan Sharifah Dayana Syed Bakri dan Fairul Asmaini Mohd Pilus


Putrajaya: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan empat program tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia termasuk Program Biasiswa Nasional bagi 20 pelajar terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka seluruh dunia.

Katanya, ia turut merangkumi Program Khas Kejuruteraan bagi 200 pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis

"Ketiga, Program Lepasan Bursary bagi 744 orang pelajar untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta dalam negara.

"Sementara keempat pengambilan baharu seramai 8,000 pelajar akan diberikan biasiswa untuk mengikuti pengajian yang ditetapkan di peringkat Ijazah Pertama Dalam Negara," katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, sebentar tadi.

Najib berkata, peruntukan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM5 bilion akan terus disalurkan kepada mahasiswa.

"Bagi mempastikan pelaburan modal insan terus dipergiatkan, Program MyBrain15, Skim Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik IPTA akan diteruskan.

"Ketika ini, seramai 25,000 pelajar sudah mengikuti pengajian di bawah program ini, dan sebagai tambahan, saya mahu menyatakan kerajaan bersetuju dengan tambahan seramai 15,000 pelajar baharu untuk program MyMaster; RM5,000 untuk program MyPhD dan 300 untuk Skim Latihan Akademik IPTA, akan diberi tawaran, dan ia akan diberi peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 2:36 PM