BERNAMA

Shah Alam: Suruhanjaya Tenaga (ST) sekali lagi menasihati pengguna supaya tidak menggunakan telefon bimbit ketika ia sedang dicas kerana mengundang bahaya, termasuk berlakunya renjatan elektrik.

Pengarah Kawal Selia Keselamatan Elektrik suruhanjaya itu Mohd Elmi Anas berkata, ketika telefon dicas, kebocoran arus elektrik akan berlaku jika ada kerosakan pada alat pengecas.

"Menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas, lebih-lebih lagi dengan alat pengecas tidak tulen, boleh membahayakan pengguna ekoran renjatan yang terhasil daripada kebocoran elektrik pengecas itu.

“Selain itu, pengguna perlu memastikan mereka membeli alat pengecas tulen yang mempunyai label SIRIM-ST atau dibekalkan bersama telefon bimbit," katanya di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang suri rumah maut di rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur, ketika menggunakan telefon bimbit yang sedang dicas dengan alat pengecas tidak tulen akibat renjatan berikutan kebocoran elektrik pengecas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 9:07 PM