IHSAN Bomba dan Penyelamat
IHSAN Bomba dan Penyelamat
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Dengkil: Sebuah blok bangunan satu tingkat Sekolah Kebangsaan Dengkil, Taman Putra, di sini, musnah dalam kebakaran, 4.30 petang, hari ini.

Dalam kejadian itu, bangunan menempatkan empat bilik, masing-masing bilik koperasi, kemahiran hidup, prasekolah dan stor sukan itu musnah terbakar.

Penguasa Kanan Bomba II Ketua Zon Selangor Selatan, Azmi Saadon, berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan tiada murid di di sekolah pada waktu kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, pada 4.38 petang, sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

"Sejurus tiba, bangunan berkenaan sudah terbakar 90 peratus. Kebakaran dikawal sepenuhnya 15 minit kemudian," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, dua jentera dengan kekuatan tiga pegawai dan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikerah ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja pemadaman.

Azmi berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian yang dialami.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 7:35 PM