Razlan hargai sokongan peminat beri sambutan mengalakkan. FOTO NSTP
Razlan hargai sokongan peminat beri sambutan mengalakkan. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiga minggu sebelum Kejuaraan Motosikal Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2016 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyaksikan pertarungan hebat jualan tiket bagi perlumbaan itu hampir habis dijual.

SIC dalam kenyataan hari ini menyatakan pas 'Premier Roving' dan tiket untuk grandstand K1, grandstand F, Marc Marquez Tribune, VR46 Tribune, DRIVE M7 SIC Racing Team Tribune dan Club Suite sudahpun habis.

Bagaimanapun, tiket bagi grandstand utama dan C2 Hillstand serta pakej grandstand Ducati masih lagi ada. Biarpun penjualan tiket meningkat ia dijangka habis dijual menjelang perlumbaan pada 28 hingga 30 Okt ini.

"Rentetan tiket MotoGP Malaysia habis dijual tahun lalu, penjualan tiket hanya mula laris di peringkat ini tiga minggu sebelum perlumbaan berlangsung. Terima kasih sokongan padu peminat tahun ini. Kita sudah memecahkan rekod apabila tiket grandstand F sudah habis dijual dua bulan lebih awal menjelang perlumbaan ini.

"Hari ini, tiga minggu sebelum perlumbaan, kebanyakan tiket untuk tempat-tempat terbaik sudah dibeli. Saya menyeru kepada peminat belum membeli tiket agar segera mendapatkan tiket mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali.

Razlan percaya tiada tiket yang akan dijual di litar semasa perlumbaan hujung minggu itu berikutan sambutan menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan peminat tegar perlumbaan motosikal, tetapi juga daripada rakyat Malaysia yang sudah pasti akan menyokong pelumba negara ini.

Tiga pelumba tempatan, Hafizh Syahrin Abdullah dalam Moto2 serta Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin dalam Moto3 beraksi dalam perlumbaan musim 2016.

Peminat boleh membeli tiket secara dalam talian di laman web rasmi SIC www.sepangcircuit.com atau menghubungi TICKET HOTLINE litar berkenaan di 03-8778 2222.

Litar Sepang akan menjadi tuan rumah pusingan kedua terakhir Kejuaraan MotoGP Dunia tahun ini, menjelang pusingan akhir di Valencia, Sepanyol dari 11 hingga 13 Nov.

Sebelum pusingan Malaysia, SIC akan menganjurkan sesi menonton siaran secara langsung MotoGP Jepun pada 16 Okt, dan MotoGP Australia pada 23 Okt, kedua-duanya diadakan di restoran The Podium by Daun di Sri Hartamas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 7:47 PM