PEMINAT berpeluang melihat pelumba MotoGP menguji jentera baru musim 2023. FOTO ASYRAF HAMZAH
PEMINAT berpeluang melihat pelumba MotoGP menguji jentera baru musim 2023. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bahang MotoGP 2023 semakin dirasai apabila peminat sukan permotoran tempatan boleh menyaksikan kehebatan pelumba terkenal dunia beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula 10 hingga 12 Februari ini.

Peminat sukan permotoran tempatan boleh memenuhi litar berkenaan di kawasan Grandstand utama secara percuma untuk melihat sesi ujian rasmi pra-musim MotoGP itu.

Menerusi kenyataan media SIC memaklumkan bahawa peminat sukan permotoran tempatan boleh menyaksikan kehebatan beberapa pelumba terkenal antaranya Francesco Bagnaia, Fabio Quartararo, Marc Marquez, Aleix Espargaro, Johan Zarco, Maverick Vinales.

"Satu lagi tambahan baharu kepada peminat ialah 'Pit Lane Walk' yang dijadualkan pada 10 dan 11 Februari dari jam 6:30 hingga 7:00 malam, terhad kepada 1,000 pemegang tiket Grandstand Sehari.

"Empat letak kenderaan premium disediakan dengan bayaran RM10 untuk kereta dan RM5 untuk berhampiran dengan Grandstand Utama, manakala RM5 dikenakan untuk kereta dan RM2 untuk kawasan P SIC dan PX. Kawasan letak kereta lain adalah percuma," katanya.

Selain itu, pembelian tiket terawal MotoGP Malaysia yang akan berlangsung 10-12 November kelak akan menerima pemotongan 15 peratus.

"Harga tiket bermula pada RM122.20 untuk F Grandstand, RM175.30 untuk Grandstand K1, RM293.30 untuk Grandstand Utama, RM361.30 untuk Marc Marquez Tribune, RM433.50 untuk Premier Roving, dan RM544.00 untuk Kerusi Perdana," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket menerusi gerai yang disediakan di kawasan Grandstand utama atau layari laman web di www.sepangcircuit.com untuk mendapatkan secara atas dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 1:38 PM