PENGUNJUNG boleh meluangkan masa menjengah Karnival Mega MotoGP disediakan penganjur Litar Antarabangsa Sepang (SIC). FOTO/GOH THEAN HOWE
PENGUNJUNG boleh meluangkan masa menjengah Karnival Mega MotoGP disediakan penganjur Litar Antarabangsa Sepang (SIC). FOTO/GOH THEAN HOWE
Sukhairi Thani


SELAIN perlumbaan yang penuh mendebarkan, Grand Prix Shell Malaysia turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Di sebalik menantikan aksi penuh debaran termasuk daripada pelumba negara - Hafizh Syahrin Abdullah, Khairul Idham Pawi dalam kelas Moto2, Adam Norrodin dan pemegang tiket wild card, Kasma Daniel Kasmayudin (Moto3) - penonton boleh meluangkan masa menjengah Karnival Mega MotoGP disediakan penganjur Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Sebanyak 99 gerai pengeluar motosikal dan aksesori akan memeriahkan GP edisi ke-19 kali ini antaranya Ducati, Yamaha, Boon Siew Honda, Kawasaki, KTM dan BMW.

“Ia akan menjadi sesuatu yang menarik kali ini, apatah lagi masih belum ada juara dinobatkan untuk kelas MotoGP,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali. “Pemburuan gelaran masih terbuka di Sepang dan saya pasti ia akan menjadi daya penarik dalam perlumbaan nanti.

“Kami juga melihat kehadiran penonton yang bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi menyokong pelumba tempatan. Tahun ini, empat pelumba negara beraksi di sini dan kami teruja untuk melihat penyokong bersorak dengan penuh semangat.

“Ini sudah tentu menjadi tambahan semangat kepada pelumba negara dan membantu mereka mencapai keputusan lebih baik. Hafizh menunjukkan prestasi menakjubkan dengan dua penamat podium dan saya harap kita akan dapat melihat aksi menarik daripadanya di Malaysia.”

Razlan dalam pada itu memaklumkan jualan tiket untuk GP Shell kali ini sudah habis dijual sejak dua bulan lalu dan atas susulan luar biasa itu pihak SIC juga sudah membuka tempahan tiket untuk musim depan.

“Tak lengkap minggu Grand Prix tanpa acara di luar trek. Selain karnival, penonton juga boleh menemui pelumba kegemaran secara berdepan di beberapa acara disediakan. Antaranya, sesi autograf bersama pelumba dan ‘pit lane walk’ pada Jumaat dan menyertai forum penyokong bersama legenda MotoGP, Mick Doohan.

“Semua acara ini disediakan khas untuk penonton bagi membolehkan mereka menikmati hari mereka selain perlumbaan,” kata Razlan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 10:00 PM