PASUKAN UniMAP bergambar kenangan.
PASUKAN UniMAP bergambar kenangan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) beraksi cemerlang apabila mengungguli tiga kategori utama iaitu individu wanita, berpasukan wanita serta berpasukan lelaki di Kejohanan Woodball Terbuka UniMAP 2016, baru-baru ini.

Bagi kategori individu wanita, UniMAP yang diwakili Rosmawati Abidin, mencatat 63 pukulan manakala bagi kategori berpasukan wanita, UniMAP mencatat 294 pukulan untuk menewaskan pasukan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Pejabat Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis (PERALIS).

Sementara itu, cabaran bagi kategori berpasukan lelaki menyaksikan UniMAP A mencatatkan 266 pukulan sekali gus menundukkan pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, sebanyak 20 pasukan tampil menyertai kejohanan yang julung kalinya dianjurkan UniMAP dan membabitkan penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah serta IPT.

“Saya percaya perkembangan positif ini bakal menyaksikan lebih banyak bakat dapat dicungkil di kalangan generasi muda dan dapat meningkatkan penganjuran pertandingan di UniMAP mahupun di negara ini.

“Sebagai sebuah universiti yang pernah menganjurkan kejohanan woodball di peringkat Asia dan dunia, saya amat berharap akan ada lebih banyak penyertaan bukan saja dari jabatan kerajaan malah dari sektor swasta sama ada di negeri ini mahupun luar,” katanya.

Berkenan berangkat hadir merasmikan upacara penutup kejohanan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung Diraja Persatuan Woodball Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 7:08 AM