Kangar: Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada 150 atlet dan pegawai dari 15 negara yang akan menyertai Kejohanan Woodball Universiti Dunia Keempat.

Kejohanan enam hari bermula esok, akan berlangsung di Woodball Fairways, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra dengan dikawal selia Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU).

“Segala persiapan berjalan mengikut jadual dan kami sudah bersedia untuk menjadi penganjur terbaik,” kata pengarah kejohanan, Afizal Abu Othman.

“Kami juga bertuah kerana mendapat sokongan kuat daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai selaku penaung.”

Selain Malaysia, negara yang mengambil bahagian ialah Bangladesh, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Laos, Mongolia, Nepal, Singapura, Taiwan, Thailand, Uganda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:03 AM