ATLET   woodball   SIPMA 2015 beraksi  di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra,  UniMAP.
ATLET woodball SIPMA 2015 beraksi di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, UniMAP.
Oleh Hafizudin Mohd Safar


Arau: Walaupun tidak memberi sebarang pungutan mata bagi penentuan juara keseluruhan Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2015, acara woodball tetap mendapat sambutan hangat selepas disertai lebih 100 atlet selain pegawai petugas dan jemputan khas.

Perlawanan itu berlangsung selama dua hari di Padang Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan berakhir semalam.

Ketua Pegawai Teknikal Kejohanan Hazril Hassan berkata, sebanyak sembilan kategori utama dipertandingkan tidak termasuk dua kategori untuk jemputan khas yang turut menawarkan pingat bagi setiap kategori.

“Penganjuran acara woodball dilihat sebagai penyeri kejohanan SIPMA 2015. Acara ini mendapat sambutan menggalakkan dan selain itu, satu bengkel bagi mendedahkan peserta dengan acara ini turut diadakan,” katanya.

Menurutnya, peluang menyertai acara woodball seharusnya tidak dilepaskan mana-mana pihak kerana hanya terdapat beberapa padang woodball yang lengkap di seluruh negara seperti di UniMAP dan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis.

Sementara itu, peluang menyertai kejohanan woodball sempena SIPMA 2015 tidak disia-siakan sekumpulan atlet pasukan Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (MASUM) kerana musim kejohanan 2016 hampir tiba dan sebahagian institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini tidak mempunyai kemudahan padang woodball yang lengkap.

Dalam perkembangan lain, hampir semua acara yang dipertandingkan sempena SIPMA 2015 sudah bermula dan setiap kontinjen kini menumpukan perhatian terhadap acara renang yang bakal menyediakan pungutan mata permulaan untuk kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:00 AM