MY Cafe Anggun City turut menampilkan pelbagai menu bagi memenuhi cita rasa seisi keluarga.
MY Cafe Anggun City turut menampilkan pelbagai menu bagi memenuhi cita rasa seisi keluarga.
MENU Mix Grill antara hidangan ala Barat yang mencuri tumpuan pengunjung dengan keunikan sos lada hitam dan salad mayonis resipi olahan pemilik.
MENU Mix Grill antara hidangan ala Barat yang mencuri tumpuan pengunjung dengan keunikan sos lada hitam dan salad mayonis resipi olahan pemilik.
PIZA yang dihidangkan bukan saja menggunakan bahan segar tapi turut menampilkan keju mozarella bagi menambah keenakan rasa.
PIZA yang dihidangkan bukan saja menggunakan bahan segar tapi turut menampilkan keju mozarella bagi menambah keenakan rasa.
ZUHDI (kanan) dan Adik Mohamad menampilkan kelainan apabila mengetengahkan menu piza dengan sentuhan selera tempatan.
ZUHDI (kanan) dan Adik Mohamad menampilkan kelainan apabila mengetengahkan menu piza dengan sentuhan selera tempatan.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Hidangan piza ternyata tidak asing dalam kalangan masyarakat kita tambahan pula dengan kewujudan banyak restoran makanan segera yang menghidangkan menu istimewa dari Itali itu.

Tampil berbeza, My Cafe Anggun City yang terletak di Rawang, Selangor ini ternyata memenuhi selera tempatan kerana memperkenalkan menu piza gabungan resipi Itali dan Asia.

Bagi penggemar piza, kafe ini adalah antara lokasi wajib singgah apabila ke Rawang kerana piza yang diketengahkan enak dan unik.

Keunikannya bukan saja terletak pada ‘topping’ piza tapi juga pada doh roti itu sendiri.

Dibakar sekitar 15 minit, rotinya enak dan lembut walaupun dimakan selepas sejuk dan bahagian luar kekal rangup.

Bahagian luarnya disaluti serbuk roti yang ternyata memberi kelainan dan menambah kerangupan.

Menurut pemilik bersama Zuhdi Mat Piah, 33 dan Adik Mohamad Man, 37, pilihan topping yang menjadi kegemaran ramai adalah Asian Pepperoni.

“Asian Pepperoni menjadi kegemaran ramai kerana ia kurang pedas jadi, ia sesuai dijamah seisi keluarga terutamanya yang mempunyai anak kecil.

“Selain Asian Pepperoni, kami ada tiga pilihan lain iaitu Asian Curry, Asian Holland dan Asian FilamenCrab.

“Setiap menu diketengahkan juga mempunyai dua pilihan protien iaitu ayam dan daging,” kata Adik Mohamad.

Bahan segar menjadi kunci utama dalam penyediaan piza kerana ia bukan saja mempengaruhi rasa malah rupa hidangan itu sendiri.

“Kami gunakan bahan-bahan segar supaya makanan bukan saja rasa sedap tapi nampak menyelerakan.

“Paling penting, piza yang dihidangkan menggunakan keju mozarella berkualiti tinggi dengan kuantiti banyak,” katanya.

Selain menu piza, My Cafe Anggun City turut mengetengahkan beberapa menu ala Barat dan tempatan bagi memenuhi cita rasa seisi keluarga.

Salah satu hidangan ala Barat yang menjadi kegemaran pengunjung adalah Mix Grill gabungan ayam, kambing dan sosej digril dan dihidangkan bersama sos lada hitam istimewa.

Turut melengkapi hidangan itu adalah kentang lecek dan salad yang diselaputi dengan sos mayonis buatan sendiri.

“Rasa masam dan manis sos mayonis ini cukup istimewa kerana ia olahan kami sendiri.

“Antara bahan rahsia diselitkan adalah buah nenas yang dikisar dan dicampurkan bersama sos mayonis dan beberapa bahan lain,” katanya.

Selain Mix Grill, menu istimewa lain yang turut menjadi tumpuan adalah Meatball dengan sos Neapolitan, Spaghetti Bolognese, Nasi Lemak Ayam Rendang dan Nasi Butter Chicken Grill.

Kafe beroperasi setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 11 malam dan turut menawarkan khidmat penghantaran ke kawasan berdekatan.

Khidmat penghantaran piza yang terletak di Pusat Komersial Anggun City, Rawang Selangor itu bermula dari 11 pagi manakala penghantaran bagi menu lain bermula pada jam 3 petang (kecuali Sabtu dan Ahad bermula 11 pagi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 1:05 PM