MOHD Khairul menunjukkan beberapa menu masakan Barat di DWAP Barbarian.
MOHD Khairul menunjukkan beberapa menu masakan Barat di DWAP Barbarian.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob


Ringkas namun penuh dengan limpahan rasa yang lazat. Itu konsep hidangan menu Barat restoran DWAP Barbarian yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam ini.

Mengetengahkan konsep ‘western fusion food’ atau gabungan gaya masakan Barat, menu yang dihidangkan memang kaya dengan rasa biarpun dihidangkan dalam gaya yang cukup ringkas.

Cukup ringkas hinggakan tiada hiasan di tepi hidangan seperti potongan brokoli, lobak merah, salad mahu pun kentang goreng.

Namun, jangan risau kerana sebaik anda menikmati hidangan yang dipesan, setiap suapan ke dalam mulut menjanjikan rasa yang cukup menawan dan kaya dengan kelazatan.

Apatah lagi hidangan Barat yang disediakan cukup berjus, lembut dan bagaikan cair di dalam mulut hinggakan tidak sedar anda sudah menghabiskannya dengan cukup cepat.

Antara menu istimewa ialah Beef Sandwich, Chicken Sandwich, Lamb Sandwich, Smoke BBQ Beef Ribs, BBQ Shredded Lamb, Grill Lamb dan hidangan utama Viking Sandwich.

Pemilik DWAP Barbarian, Mohd Khairul Yusoff, 33, berkata, terdapat 30 menu yang disediakan dan kesemuanya dalam konsep gabungan masakan Barat.

Katanya, kebanyakan menu sandwich adalah ketulan daging ayam, lembu atau kambing yang dipanggang secukup masak, namun dibalut dengan kepingan tortilla.

“Jika datang ke sini, menu ini kebanyakannya adalah gabungan konsep masakan Barat seperti yang dihidang dalam konsep masakan Itali dan Mexico.

“Sebab itu, kebanyakan menu kita berkonsep sandwich, iaitu ketulan daging ayam, lembu atau kambing panggang yang di balut kepingan tortilla,” katanya.

Menurut Mohd Khairul, menu pengenalan bagi DWAP Barbarian adalah Viking Sandwich, iaitu ketulan isi daging besar yang boleh dimakan tiga orang. Menu ini cukup kaya dengan limpahan sos lada hitam, sos keju dan mozarella yang pastinya akan menambat pencinta keju.

Malah, menurut Mohd Khairul, setiap menu ini diperap selama sehari bagi membolehkan rasa herba­nya masuk hingga ke bahagian paling dalam. Bahan untuk perapan juga dihasilkan sendiri dan setiap satunya berbeza antara satu sama lain selain ditambah dengan herba tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:00 AM