AIMAN Syamil .
AIMAN Syamil .
BARISAN peserta yang memasuki acara ini bagi kategori Restaurant Service.
BARISAN peserta yang memasuki acara ini bagi kategori Restaurant Service.
PASUKAN Restaurant Service PTSS bersama Aiman Syamil
PASUKAN Restaurant Service PTSS bersama Aiman Syamil
TASK hidang makanan kepada tetamu.
TASK hidang makanan kepada tetamu.
JURULATIH yang banyak membimbing Aiman untuk sampai ke peringkat ini.
JURULATIH yang banyak membimbing Aiman untuk sampai ke peringkat ini.
Fatin Farhana Japre


Baru setahun jagung, namun anak muda kita, Aiman Syamil Azmi, 20, sudah mampu memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh ke arah pembangunan diri dan seterusnya mengharumkan nama negara.

Pelajar jurusan Diploma Perkhidmatan Makanan (Amalan Halal) di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Arau, Perlis ini mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas bagi kategori ‘Restaurant Service’ di WorldSkills ASEAN Kuala Lumpur, sekali gus melayakkannya beraksi di WorldSkills Abu Dhabi pada Oktober 2017.

Menurut Aiman Syamil, segala usahanya selama ini berbaloi kerana dia bukan saja berjaya membuat orang sekelilingnya bangga bahkan akan membawa nama negara di peringkat dunia.

“Sebenarnya saya lebih meminati bidang masakan namun apabila dipilih pihak PTSS secara rawak untuk mewakili politeknik kami pada April lalu di pertandingan prakelayakan WorldSkills Malaysia Belia di KFCH Johor Bahru, saya ambil peluang ini sebagai cabaran untuk menimba pengalaman baru.

“Daripada 48 peserta terbabit seluruh Malaysia, saya muncul naib juara dan melayakkan untuk beraksi di WorldSkills ASEAN Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya menjalani latihan dengan konsisten selama tujuh bulan sehingga tiba hari pertandingan untuk menguasai kemahiran teknikal bagi ketiga-tiga modul yang sudah ditetapkan,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Antara tugasan yang ditetapkan semasa WorldSkills ASEAN Kuala Lumpur ialah Table Boxing, Napkin Folding, Fruits Preparation, Opening and Pouring Sparkling Juice, Mocktail, Caramelization, Flower Arrangements, Banquet Service, dan Fine Dining Service.

Menerusi pertandingan ini juga, peserta dinilai dari segi personaliti, ketampanan, kebersihan, pakaian, dandanan, kemahiran berkomunikasi dengan tetamu dan sebagainya.

Namun Aiman Syamil berjaya menambat hati juri menerusi persembahannya yang mantap untuk semua tugasan yang ditetapkan.

Kejayaan anak muda ini tidak mungkin sampai ke tahap ini jika tiada bimbingan dari jurulatih, guru, keluarga dan rakan. Malah Aiman Syamil turut menjalani beberapa sesi latihan berpusat bersama rakan seperjuangannya, Chin Peynie untuk memantapkan lagi aksi mereka pada hari pertandingan terbabit.

“Akhirnya semua usaha saya berbaloi apabila meraih pingat emas bagi kategori ini dan jumlah markah saya berjaya mengatasi enam negara yang lain iaitu Thailand, Singapura, Indonesia, Myammar, Kemboja dan Vietnam.

“Saya bukan hanya membawa nama negara bahkan akan membuktikan kepakaran dan keupayaan anak tempatan kita setanding negara lain.

“Harapan saya mahu melakar sejarah sekali lagi di WorldSkills Abu Dhabi 2017 kerana nama Malaysia belum ‘terpahat’ di peringkat itu dalam bidang ini. Saya akan komited meneruskan latihan dan berusaha untuk merealisasikannya,” katanya.

Aiman Syamil menerima ganjaran wang tunai RM14,000, pingat emas beserta sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 11:51 AM