MUHAMMAD Hanif Naufal menempa nama di persada antarabangsa. FOTO Ihsan Kolej Komuniti Selayang
MUHAMMAD Hanif Naufal menempa nama di persada antarabangsa. FOTO Ihsan Kolej Komuniti Selayang
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penuntut orang kurang upaya (OKU) yang juga alumni Kolej Komuniti Selayang (KKSY) menempa nama di persada antarabangsa apabila berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam pertandingan Abilimpik Peringkat Antarabangsa ke-10, pada 23 hingga 26 Mac lalu.

Pingat itu diperoleh bagi kategori 'Restaurant Services' dan dianugerahkan 'Medallion of Excellence for Malaysia Team'.

Muhammad Hanif Naufal Mohd Mazni yang lebih mesra dipanggil Naufal, 23, berkata, dia menjalani latihan intensif dari 2019 bagi memastikannya bersedia dalam pertandingan berprestij itu.

"Kejayaan saya ini adalah hasil sokongan dan komitmen tinggi daripada keluarga, pensyarah, Fazlilawati Mohd Fadzil dan rakan-rakan.

"Tanpa dorongan mereka, tidak mungkin saya akan berada di sini mencapai kejayaan dan menempa nama di persada antarabangsa," katanya yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam ini.

Naufal adalah alumni Sijil Asas Kulinari KKSY kategori golongan orang kurang upaya (OKU) Pembelajaran.

Kejayaan Naufal bermula pada 2018 apabila menyertai Pertandingan Abilimpik Peringkat Kebangsaan dan berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan itu bagi bidang sama.

Kejayaan itu memberi peluang kepada Naufal untuk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa kali ini.

Menurutnya, Kolej Komuniti Selayang banyak membantunya meningkatkan kemahiran dalam bidang kulinari terutama perkhidmatan restoran.

"Walaupun saya mengambil Sijil Asas Kulinari tetapi itu tidak menghalang saya untuk mempelajari selok belok industri hospitaliti lain.

"Komitmen tinggi daripada Puan Fazlilawati dalam memberikan peluang latihan intensif dengan pakar negara industri perkhidmatan, restoran Mod Jeffri adalah batu loncatan bagi saya dalam pertandingan ini.

"Saya nekad untuk menang meskipun gentar untuk bertanding dengan peserta dari pelbagai negara," katanya.

Katanya, OKU bukan penghalang untuk mengejar impian dan setiap individu perlu sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap peluang mendatang.

"Kita perlu kejar mengejar impian untuk meningkatkan peluang golongan OKU dalam menambah baik kehidupan pada masa hadapan," katanya.

Selain Naufal, dua lagi individu turut meraih kemenangan dengan pingat perak bagi kategori 'Painting and Waste Art' iaitu alumni Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Nur Amiratul Farahin Ab Rahman, 23, dan alumni Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Wan Muhammad Hafizunif Wan, 27, yang meraih pingat gangsa kategori 'Cake Decoration'.

Penyertaan dalam pertandingan kemahiran itu memberi impak dan manfaat kepada penuntut dan politeknik serta Kolej Komuniti (PolyCC).

Ia dapat mengiktiraf tahap kemahiran pelajar serta menanda aras tahap kemahiran pelajar PolyCC.

Pertandingan itu membabitkan 410 peserta dari 22 negara dan 45 kategori dipertandingkan dan seramai 16 peserta OKU termasuk enam dari politeknik dan Kolej Komuniti dari pelbagai bidang kemahiran mewakili negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 10:53 PM