AWANG (duduk tengah) bersama peserta mewakili negara dalam pertandingan WorldSkills Competition 2022 Special Edition.
AWANG (duduk tengah) bersama peserta mewakili negara dalam pertandingan WorldSkills Competition 2022 Special Edition.
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Mewakili negara dalam pertandingan kemahiran peringkat dunia satu pencapaian yang cukup membanggakan.

  Justeru, bagi menyuntik semangat dan motivasi kepada peserta dan pakar mewakili negara ke WorldSkills Competition 2022 Special Edition (WSC2022SE), peserta diraikan pada Majlis Amanat Peserta dan Pakar WSC2022SE bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim.

  Pada majlis berkenaan, Awang memberikan nasihat, harapan dan amanat kepada semua peserta dan pakar negara supaya memberikan komitmen terbaik.

  Selain itu, beliau juga berharap kontinjen negara menunjukkan prestasi yang cemerlang bagi merealisasikan hasrat mendapatkan pingat emas pertama negara dalam pertandingan ini.

  "Aspek kemahiran teknikal, pengetahuan, kekuatan mental, kecerdasan emosi serta keselamatan dan kesihatan peserta perlu diberi penekanan sepanjang pertandingan.

  "Di samping itu, tidak mengabaikan aspek kerohanian atau spiritual dalam usaha mencapai kejayaan," katanya dalam satu kenyataan.

  WSC2022SE yang bermula dari 8 hingga 28 Oktober ini diadakan di tiga lokasi iaitu di Lucerne, Switzerland untuk empat bidang kemahiran iaitu Bakery, Patisserie and Confectionery, Restaurant Service & Cooking.

  Lokasi kedua adalah di Basel, Switzerland untuk bidang kemahiran Cabinet Making.

   Manakala lokasi ke tiga adalah di Helsinki, Finland untuk dua bidang kemahiran iaitu Beauty Therapy dan Fashion Technology.

AWANG menyampaikan cenderahati kepada peserta pertandingan WorldSkills Competition 2022 Special Edition.
AWANG menyampaikan cenderahati kepada peserta pertandingan WorldSkills Competition 2022 Special Edition.

Di samping itu,   penyertaan kontinjen negara dalam tujuh bidang kemahiran di pertandingan ini diwakili peserta daripada agensi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

  Agensi itu ialah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang diwakili oleh pelajar Politeknik Merlimau Melaka, Muhammad 'Adziem Wazi dan Kolej Komuniti Langkawi Dhineshwaran Jayakumar bagi bidang Patisserie and Confectionery dan Restaurant Service.

  Majlis Amanah Rakyat (MARA) diwakili oleh Muhamad Ali Azamuddin  Allias dari Institut Kemahiran Mara (IKM) Sungai Petani, Kedah bagi bidang Cabinet Making.

  GiatMara Malaysia pula diwakili Nur Aliah Nadhirah Yusri dari  GiatMara Kuala Lumpur dan Nur Izzah Sofiya Mat Khalit dari Giatmara Tasek Gelugor bagi bidang Fashion Technology dan Beauty Therapy.

  Akhir sekali adalah Taylor University yang diwakili oleh Leong Yuk Shang  serta Woo Kaiwen bagi bidang Cooking dan Bakery.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 11:00 AM