NURUL Aisyah
NURUL Aisyah
Suliati Asri


Shah Alam: Pertandingan kemahiran salah satu platform untuk menguji dan mengangkat tahap kemahiran peserta ke peringkat yang lebih tinggi.

Justeru, bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang peserta, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) menganjurkan Majlis Penyampaian Pingat Pertandingan Kemahiran Worldskills Malaysia Tahun 2022, baru-baru ini.

Ketua Pengarah JPK, Ts Dr Mohamad Sulaiman berkata, majlis itu dianjurkan bertujuan meraikan dan memberi pengiktirafan kepada peserta yang mencapai kejayaan dalam pertandingan kemahiran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun 2022.

Menurutnya, WorldSkills Malaysia selaku anggota WorldSkills International (WSI) bertanggungjawab menganjurkan pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan dan menguruskan penyertaan negara ke pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa.

"Sepanjang 2022, pertandingan kemahiran yang dilaksanakan adalah WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2022, WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) 2022, JuniorSkills Malaysia (JSM) 2022, Pertandingan Worldskills Asia Onlineskills Challenge 2022 dan WorldSkills Competition (WSC) 2022 Special Edition.

"Oleh itu, majlis ini diadakan bagi memberi pengiktirafan dan meraikan pemenang pertandingan ini yang juga adalah salah satu usaha kerajaan untuk memberi pengiktirafan kepada belia, pelajar dan tenaga pengajar yang sudah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing seterusnya dapat mempromosikan latihan kemahiran di Malaysia," katanya.

Majlis yang diadakan di Shah Alam Convention Centre di sini, baru-baru ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud.

Tahun lalu, JPK KSM menganjurkan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) dan JuniorSkills Malaysia (JSM) serta bersama-sama Kementerian Kerja Raya dalam penganjuran WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) yang menyaksikan penyertaan yang sangat menggalakkan.

WSMB membabitkan 35 bidang dengan penyertaan peringkat pra-kelayakan seramai 1,140 peserta dan penyertaan peringkat akhir seramai 245 orang.

WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) pula membabitkan 10 bidang dengan penyertaan peringkat pra-kelayakan seramai 127 peserta dan peringkat akhir seramai 54 peserta.

Manakala JSM mempertandingkan 10 bidang dengan penyertaan peringkat pra seramai 221 peserta dan peringkat akhir seramai 90 peserta.

Negara juga menghantar tujuh peserta ke WSC 2022 Special Edition yang berlangsung di Switzerland dan Finland membabitkan tujuh bidang iaitu Bakery, Patisserie and Confectionary, Cabinetmaking, Restaurant Service, Cooking, Beauty Therapy dan Fashion Technology.

Mengulas lanjut, Ts Dr Mohamad berkata, dengan sambutan dan penyertaan yang sentiasa meningkat, pihaknya akan berusaha memastikan pertandingan ini dianjurkan setiap tahun.

"Penganjuran pertandingan serta penyertaan dalam pertandingan-pertandingan kemahiran yang relevan di pelbagai peringkat akan sentiasa dipergiatkan sebagai salah satu usaha meningkatkan daya saing peserta di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Mengikut kepada format pertandingan terutama di peringkat ASEAN dan dunia, peserta hanya boleh mengikuti sekali sahaja dan mempunyai had umur iaitu sehingga 22 tahun sahaja.

"Oleh yang demikian, dengan mengadakan pertandingan ini setiap tahun juga, lebih ramai anak-anak dan belia di negara ini yang berpeluang untuk menyertainya. Seterusnya kita dapat melahirkan bakat baru yang akan mewakili negara di peringkat tertinggi," katanya.

Pertandingan yang diadakan ini juga menjadi platform dalam mencari peserta bagi mewakili negara di WorldSkill ASEAN, WorldSkill Asia dan seterusnya WorldSkill Competetion.

Ts Dr Mohamad berkata, menerusi penyertaan di peringkat antarabangsa itu, negara dapat mengetahui tahap kemahiran belia atau bakal pekerja kita adalah setanding negara maju.

MUSTAPHA (dua dari kiri) diiringi Ts Dr Mohamad (kiri) menyampaikan hadiah pingat gangsa kepada Md Aras Yos (berkerusi roda) dalam bidang welding pada Majlis Penyampaian Pingat Pertandingan Kemahiran Worldskills Malaysia 2022.
MUSTAPHA (dua dari kiri) diiringi Ts Dr Mohamad (kiri) menyampaikan hadiah pingat gangsa kepada Md Aras Yos (berkerusi roda) dalam bidang welding pada Majlis Penyampaian Pingat Pertandingan Kemahiran Worldskills Malaysia 2022.

Ini kerana katanya, pertandingan ini mempunyai standard dan diiktiraf oleh seluruh dunia.

"Di sini, kita juga dapat mempertingkatkan kemahiran peserta kerana ada teknologi baru yang akan diperlihatkan. Jadi, kita perlu mahir dan kompeten.

"Dengan itu, latihan kita akan selari di semua pusat latihan TVET kerana ia perlu memenuhi tahap atau teknologi yang diketengahkan," katanya.

Kejayaan demi kejayaan dikecapi peserta di peringkat antarabangsa juga pencapaian negara yang menjadi panduan serta penanda aras oleh negara luar.

Ts Dr Mohamad berkata, pihaknya melihat dengan mengikuti pertandingan di luar negara ini, masyarakat dunia akan melihat Malaysia sebagai pengeluar tenaga kerja mahir yang cemerlang.

Menurutnya, tenaga kerja kita laku di luar negara kerana tahap kompeten mereka mencapai tahap ditetapkan di peringkat dunia.

"Dengan adanya pertandingan-pertandingan yang diadakan, kini kita mempunyai bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan, sekali gus penyertaan negara di peringkat antarabangsa meningkat.

"Peserta juga bukan saja boleh bersaing dan menerima pingat tetapi kebanyakan peserta peringkat dunia akan dirisik oleh mana-mana negara untuk bekerja keranamempunyai kompetensi yang tinggi.

"Peserta yang tidak menerima pingat semasa pertandingan juga mempunyai potensi untuk ditawarkan bekerja di luar negara kerana mereka sudah mempunyai kemahiran dan kompeten, tetapi turut mencapai tahap kompetensi dunia," katanya.

Bagi pemenang pingat emas WSMP untuk bidang Bakery dari Institusi Kemahiran Tinggi Belia Negara Alor Gajah, Nurul Aisyah Mohd Shuhaisan berkata, pertandingan ini peluang untuknya memperlihatkan kemahiran yang dipelajari.

"Pertandingan ini juga membuka peluang bukan saja kepada dirinya, tetapi juga semua peserta dalam mengembangkan lagi bakat serta kemahiran mereka di peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, pemenang pertama JSM dalam bidang Elektronik, Damia Natasha Hablillah, 15, berkata, JSM ini sangat bagus bukan saja mencungkil bakat pelajar di peringkat menengah tetapi menggalakkan untuk lebih kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 10:34 PM