PEMAIN Sarawak United FC, Regan (tengah) menanduk bola sambil diasak pertahanan TFC II, Redzovic (dua kiri) pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN Sarawak United FC, Regan (tengah) menanduk bola sambil diasak pertahanan TFC II, Redzovic (dua kiri) pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) merampas kedudukan teratas Liga Perdana selepas berjaya menumpaskan Sarawak United FC 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu skuad The Turtles mengumpul 28 mata selain mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 14 perlawanan.

Terdahulu skuad The Turtles bermula garang apabila penyerang, Jordan Mintah berjaya memecah benteng pertahanan pelawat pada minit ketujuh, namun rembatan leretnya berjaya ditampan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Dua minit berselang, pemain tengah, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar hampir mencetak nama sebagai penjaring melalui rembatan kencang dari luar kotak penalti yang sedikit tersasar.

Usaha berterusan skuad kendalian Badrul Afzan Razali akhirnya berhasil apabila pengadil, Mohd Faisal Ridzuan menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-19 selepas Mintah dijatuhkan penjaga gol.

Penyerang kelahiran Ghana yang mengambil sepakan itu tidak melepaskan peluang untuk merekod jaringan peribadi ke-14 untuk mendahului carta penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Kenyalang Emas bimbingan E Elavarasan memperkemaskan jentera serangannya yang diketuai bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha.

Namun peluang yang dimiliki pada minit ke-25 menerusi tandukan kapten, Taylor Regan hasil sepakan percuma Lee Chang Hoon gagal menembusi pintu gol yang dikawal Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Pada minit ke-45, pelawat sekali lagi mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma berdekatan kotak penalti, namun rembatan Chang Hoon terkena pertahanan sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.

Bersambung babak kedua, pelawat yang terdesak memburu gol kerap 'berkampung' di kubu tuan rumah namun gagal menembusi pintu gol skuad The Turtles.

Norshahrul Idlan mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-69 selepas bijak meloloskan diri dengan menyelinap masuk dalam kotak penalti tapi berjaya dihalang pertahanan, Argzim Redzovic.

Malang buat TFC II apabila Mintah diusung keluar pada minit ke-73 selepas mengalami kecederaan serius kerana bertembung dengan penjaga gol, namun kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 11:16 PM