IDA Nirwana (kiri) bersama Norinie. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
IDA Nirwana (kiri) bersama Norinie. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
(Dari kiri) Ida Nirwana, Nurul Hakim dan Norinie Rahmad. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
(Dari kiri) Ida Nirwana, Nurul Hakim dan Norinie Rahmad. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: "Saya akan buat yang terbaik termasuk membimbing kedua-dua isteri ke arah yang lebih baik terutama dari segi agama, tanggungjawab, hal rumahtangga dan sebagainya," kata Nurul Hakim Mohd Kusaini.

Nurul Hakim, 32, adalah suami Ida Nirwana Marzuki, 26, yang melamar sahabatnya, Norinie Rahmad, 35, untuk dijadikan sebagai isterinya dan hidup bermadu.

Katanya, sehingga kini dia seperti bermimpi apabila mempunyai dua isteri selain masih terkejut dengan apa yang berlaku.

"Syukur, semuanya berjalan dengan baik. Selama dua hari saya sah menjadi suami kepada Norinie, kehidupan saya dan isteri semakin bahagia dan sempurna.

"Pada awalnya, agak susah untuk saya membuat keputusan berpoligami apatah lagi untuk menganggap Norinie sebagai isteri kerana sebelum ini kami adalah rakan niaga saja.

"Semua itu mengambil masa tetapi InsyaAllah saya akan cuba yang terbaik untuk kedua-duanya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Desa Petaling, hari ini.

Menurutnya, perkara paling utama adalah kedua-dua isteri perlu memainkan peranan masing-masing termasuk bertolak ansur dan berkompromi supaya tidak ada yang terasa hati.

"Saya sebagai suami masih belajar untuk hidup berpoligami. Saya melihat Norinie seorang yang baik, bertanggungjawab dan sangat selesa dengan perwatakannya.

"Saya mohon masayarakat di luar mendoakan kebahagian kami berpanjangan sehingga ke akhir hayat," katanya.

Dalam pada masa sama, Norinie berkata, dia tidak menyangka akan berkahwin dengan suami kepada sahabat sendiri.

"Semuanya tidak dirancang. Saya sendiri masih terkejut tetapi Alhamdulillah, saya lega berbanding perasaan sebelum ini apabila sah menjadi isteri Nurul Hakim.

"Semuanya untuk mengelak fitnah dan perbualan orang lain kerana sebelum ini juga kami sangat akrab dan sering berjumpa, tidak elok pada pandangan orang lain," katanya yang sebelum ini masih bujang dan belum pernah berkahwin.

Katanya, kini hubungannya bersama suami dan madunya lebih rapat selain bersyukur Ida banyak membantunya terutama soal berhijab.

"Dia (Ida) banyak mengajar saya untuk berhijab terutama cara-cara memakai tudung.

"Perkara penting adalah sikap toleransi antara saya dan madu di mana selama saya berkahwin dan sampai hari ini, apa saja masalah yang kami hadapi akan diselesaikan dengan berbincang dan meluahkan perasaan masing-masing," katanya.

Sementara itu, Ida berkata, sepanjang dua hari ini selepas Norinie sah menjadi isteri kepada suaminya, dia dan madunya itu akan membahagikan tugas harian mengurus rumahtangga sebaiknya.

"Saya akan mengemas rumah, membasuh dan melipat pakaian manakala Norinie pula akan memasak dan menyiapkan hidangan selain dibantu suami yang turut mengambil bahagian mengharmonikan lagi hubungan.

"Pergaduhan itu perkara biasa, kadang-kadang ada terasa hati dan sebagainya tapi kami terapkan dalam diri masing-masing supaya tidak memendam perasaan sebaliknya duduk berbincang demi kebaikan bersama.

"Saya juga manusia biasa dan tidak pasti apa akan berlaku pada masa akan datang. Saya hanya melakukan yang terbaik terutama untuk memastikan hubungan ini berkekalan," katanya.

Berita berkaitan:

Sahabatku maduku [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 12:22 AM