OLD Malaya Kopitiam popularkan menu warisan bersama kek dan makanan Barat.
OLD Malaya Kopitiam popularkan menu warisan bersama kek dan makanan Barat.
Aniza Zainudin

Ubi kayu rebus bersama kelapa parut senantiasa menjadi sajian enak ketika musim hujan bagi datuk nenek atau orang tua dahulu kala.

Warisan makanan tradisional tidak sahaja mengembalikan nostalgia, ia juga mempunyai khasiat tersendiri untuk diwariskan kepada generasi muda.

Enggan budaya makanan sebegitu lapuk dek arus pemodenan, Old Malaya Kopitiam (OMK) tampil dengan konsep kopitiam dan menyajikan menu tradisional seperti ubi kayu rebus.

Menurut Pengarah Makanan dan Minuman OMK, Muhammad Farid Haziq Md Idris, idea memperkenalkan sajian tradisional tercetus apabila OMK memulakan operasi pada 2008.

“Kebanyakan makanan warisan nenek moyang kian hilang ditelan zaman, justeru kita mengambil inisiatif untuk mempopularkannya semula.

“Tambahan pula, OMK juga memiliki cawangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selain di Bangi Getaway dan Shah Alam, jadi ia cara terbaik untuk kita memperkenalkan Malaysia.

“Sebenarnya sajian unik ini masih mendapat permintaan dalam kalangan pelanggan, terutama yang berkeluarga,” katanya.

Berkongsi keunikan menu ubi kayu rebus, ia dikupas dan dipotong sebelum ubi kayu dibasuh bersih.

Ubi kayu direbus dalam tempoh tertentu untuk mendapatkan tekstur lembut, namun tidak menghilangkan rasa aslinya. Sedia disaji panas, ubi kayu rebus lebih enak apabila digabungkan bersama sambal ikan bilis, kelapa parut dan gula Melaka.

Nasi goreng kambing pula antara menu terbaik di OMK dan sering menjadi pilihan pengunjung. Menggunakan nasi beriani, daging kambing yang dipotong berbentuk kiub digoreng bersalut tepung dan ditambah perisa menggunakan sos kambing istimewa OMK.

Nasi goreng kambing dicampur gajus, kismis dan telur dihiasi bersama acar rampai, salad dan papadom.

Memberi pilihan kepada pelanggan, OMK juga menyediakan sajian makanan Barat serta pencuci mulut, pelbagai jenis kek yang dihasilkan segar setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2016 @ 5:00 AM