BERNAMA

Tanjung Malim: Seramai 52 siswazah bakal menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-18 bermula esok.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, jumlah graduan PhD kali ini adalah paling ramai dalam sejarah penubuhan universiti berkenaan.

"Peningkatan jumlah graduan itu adalah usaha berterusan Institut Pengajian Siswazah (IPS) dalam mencapai sasaran kualiti iaitu 20 peratus pelajar tamat pengajian daripada enrolmen semasa," katanya berucap pada majlis minum petang graduan siswazah sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-18 di sini, hari ini.

Istiadat Konvokesyen UPSI ke-18 akan berlangsung mulai esok sehingga 24 September di Dewan Besar UPSI Kampus Sultan Azlan Shah Proton City di sini.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang juga Canselor universiti itu, berkenan berangkat merasmikan pembukaan istiadat konvokesyen esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 10:26 PM