PEMAIN  Selangor Adam Nor Azlin (kiri)  merampas  bola daripada pemain Pahang   Jailton De Campos.
PEMAIN Selangor Adam Nor Azlin (kiri) merampas bola daripada pemain Pahang Jailton De Campos.

Shah Alam: Selangor terus mensia-siakan peluang beraksi di halaman sendiri apabila terpaksa berputih mata apabila tewas 0-1 di tangan Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selepas impian untuk menjulang mahkota kejuaraan liga musim ini berkubur susulan kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mengekalkan gelaran itu buat kali ketiga berturut-turut kelmarin, skuad kendalian K Gunalan kini mengalih tumpuan dengan mensasarkan tiga kedudukan terbaik dalam carta.

Tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai bola sejak awal permainan dan nyaris mencemaskan gawang lawan menerusi percubaan pemain kebangsaan S Veenod pada minit ke-12 namun berjaya ditepis penjaga gol Pahang Nasril Nourdin.

Seminit kemudian, pelawat membuat pertukaran selepas Faisal Rosli cedera dengan memasukkan Faizal Abdul Rani.

Jaringan pelawat itu hadir pada minit ke-33 selepas awang import Pablo Vranjican bijak memanfaatkan situasi kelam kabut di dalam kotak penalti dengan melepaskan sepakan ke penjuru kiri yang gagal diselamatkan Norazlan Razali.

Selangor terus bernasib baik apabila pengadil perlawanan Zulkifli Ahmad membatalkan jaringan kedua pelawat ekoran kekasaran yang dilakukan pemain Pahang ke atas penjaga gol tuan rumah itu pada minit ke-37.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus mengatur serangan dan berpeluang menyamakan kedudukan namun sepakan lencong ketua pasukan Andik Vermansyah mudah ditepis Nasril pada minit ke-52.

Menuju 10 minit terakhir, Gunalan mengeluarkan Hazwan dan memasukkan Nazmi Faiz Mansor bagi memburu gol penyamaan namun keputusan 0-1 itu kekal memihak pelawat yang ceria pulang dengan tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:08 AM