AFP

Milan: Impian Mauro Icardi (gambar) memenangi trofi bersama Inter Milan berdepan tamparan hebat Liga Europa dan kini berdepan ujian getir Serie A apabila melayan kunjungan juara Juventus untuk ‘Derby d’Italia’ esok.

Penyerang Argentina itu menjaringkan enam gol ke atas Old Lady of Turin, termasuk tiga ketika menyertai kelab lamanya Sampdoria.

Berbekalkan tiga gol pada tiga perlawanan pertama musim ini, pemain pujaan berusia 23 tahun itu bertekad melebarkan rekodnya ke atas penjaga gol legenda Juve, Gianluigi Buffon.

Inter yang kini lima mata di belakang pasukan gergasi Turin ini perlukan harapan baru selepas tewas 0-2 kepada Hapoel Be’er Sheva di laman sendiri pada aksi pembukaan Liga Europa awal pagi semalam.

Icardi berkata sebelum perlawanan itu dia mahu mengikut jejak idolanya, bekas penyerang Inter dan Barcelona Ronaldo, yang membantu Inter menjulang Piala UEFA pada 1998.

“Ronaldo penyerang terhebat sepanjang zaman tapi saya mahu memenangi trofi dengan menyarung jersi ini,” katanya.

Pertahanan Juventus Leonardo Bonucci menjangkakan aksi ‘hangat’ di San Siro namun selepas meraih keputusan seri tanpa jaringan dengan Sevilla pada aksi Liga Juara-Juara sebelum itu, dia berkata Juve tidak boleh terlena daripada impian mereka meraih kemenangan keenam berturut-turut.

“Saya jangkakan perlawanan yang hebat kerana jangan lupa perlawanan itu membabitkan aksi setempat Itali,” kata Bonucci.

“Inter masih dalam pembentukan, mereka mempunyai pemain dan jurulatih baru. Mereka juga pasti mahu membuktikan boleh berjaya ke atas Juventus.

“Namun selepas aksi Liga Juara-Juara, mereka akan berdepan Juventus yang lebih bernafsu. Mereka mahu menjadi pasukan pertama di Itali yang menang enam gelaran berturut-turut.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:04 AM