SARRI yakin Juventus akan kembali bangkit walaupun tewas pada aksi terakhir Serie A. FOTO AFP
SARRI yakin Juventus akan kembali bangkit walaupun tewas pada aksi terakhir Serie A. FOTO AFP
AFP

JURULATIH Juventus Maurizio Sarri memberi amaran yang pasukannya akan kembali menyengat pada aksi Liga Juara-Juara minggu depan walaupun menamatkan kempen Serie A mereka dengan kekalahan 1-3 di tangan AS Roma.

Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut Juventus sejak mengesahkan gelaran Serie A kesembilan berturut-turut, hanya beberapa hari sebelum pertemuan Liga Juara-Juara dengan Lyon.

"Bagus jika ada sedikit perasaan gentar. Prestasi kami menurun selepas kemenangan ke atas Lazio.

"Tenaga fizikal mampu dipulihkan segera, tetapi daripada segi psikologi perlu dipastikan secepat mungkin, untuk bertemu Lyon," kata Sarri yang memburu gelaran elit Eropah pertama buat Juve sejak tahun 1996.

Juventus perlu mengatasi defisit 0-1 daripada perlawanan pusingan pertama kelompok 16 terakhir menentang Lyon.

Cristiano Ronaldo direhatkan pada perlawanan terakhir liga menentang Roma yang berada di tangga kelima.

Inter Milan menamatkan saingan di tangga kedua selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Atalanta di Bergamo, satu mata di belakang Juve.

Sementara itu, penyerang Lazio, Ciro Immobile meledak gol ke-36 dirinya musim ini ketika tewas 1-3 kepada Napoli untuk menyamai rekod gol terbanyak dalam kempen Serie A.

Penyerang 30 tahun Itali itu menemui sasaran pada minit ke-22 untuk menyamai rekod 36 gol milik pemain Argentina, Gonzalo Higuain ketika mewakili Napoli pada musim 2015-16.

Immobile turut memenangi Kasut Emas Eropah, mengatasi penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski yang meledak 34 gol.

Ini adalah kali ketiga Immobile memenangi gelaran penjaring terbanyak di Itali.

Pada musim 2013-14 dia meledak 22 gol untuk Torino, dan berkongsi gelaran dengan Mauro Icardi (Inter Milan) pada musim 2017-18 selepas meledak 29 gol untuk Lazio.

Cristiano Ronaldo terlepas peluang memenangi anugerah 'Capocannoniere' apabila direhatkan pada perlawanan terakhir Juventus menentang Roma.

Pemain 35 tahun kelahiran Portugal itu berada di tangga kedua dengan mengumpul 31 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 3:37 PM