ICARDI mahu bandingkan dirinya dengan Ronaldo di atas padang. FOTO/AGENSI
ICARDI mahu bandingkan dirinya dengan Ronaldo di atas padang. FOTO/AGENSI
AFP

MILAN: Mauro Icardi berkata, dia berpeluang membuat perbandingan dirinya dengan Cristiano Ronaldo buat kali pertama apabila Inter Milan berkunjung ke Turin esok dengan misi untuk melakar kemenangan sekali gus menghidupkan peluang bagi perebutan kejuaraan Serie A.

Juventus mempamer aksi cemerlang musim ini sejak menandatangani Ronaldo apabila memimpin liga dengan mengumpul 40 mata selepas 14 perlawanan pertama Serie A.

Napoli pula di tangga kedua, ketinggalan lapan mata di belakang Juventus dengan Inter Milan pula tercicir 11 mata di tangga ketiga.

Kekalahan bermakna ia terus membuka ruang besar kepada Juventus untuk menjulang kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut.

“Saya pernah bertemu Juventus banyak kali tetapi kali ini amat penting.

“Saya tidak mahu keputusan seri. Kami perlu hadir ke Turin dengan tanpa sebarang rasa gentar.

“Saya tidak sabar untuk beraksi menentang Cristiano Ronaldo. Ia pasti rasa teruja apabila bertemunya di barisan depan. 

Icardi yang berusia 25 tahun mempamer aksi cemerlang musim ini apabila meledak lapan gol pada saingan Serie A serta 11 gol dalam semua pertandingan.

Ronaldo pula menjaringkan 10 gol di Serie A dan keseluruhan 11 gol bersama Juventus.

Kali terakhir Inter melakar kemenangan di Turin adalah pada November 2012.

Bagaimanapun Presiden Inter, Steven Zhang menegaskan barisan pemainnya sentiasa mempunyai tahap keyakinan tinggi.

“Kami sudah bersedia untuk perlawanan itu. Kami semakin mempamer aksi baik. Setiap musim kami mahu melakukan yang terbaik berbanding sebelumnya,” katanya. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 12:53 PM