BONUCCI puji formasi baru Juve.
BONUCCI puji formasi baru Juve.

Milan: Juara bertahan Juventus melayan kunjungan Torino esok dalam usaha menjarakkan diri dengan pencabar utama, Roma yang bakal menanti kehadiran Inter Milan.

Selepas menang ke atas Malmo dalam saingan Liga Juara-Juara, Juventus kembali ke Turin dengan harapan baru untuk layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

Selepas menang semua lima aksi di tempat sendiri musim ini, skuad kendalian Massimiliano Allegri itu dijangka bakal mendapat tiga mata ketika menentang Torino yang diejek penyokong sendiri apabila tewas 0-1 di tangan Sassuolo minggu lalu.

Kali terakhir Torino mengalahkan Juve ialah pada musim 1994-95 di mana mereka menang dua kali - 3-2 di tempat sendiri dan 2-1 di gelanggang lawan.

Kali terakhir mereka menjaringkan gol ke atas Juve pula ialah pada Februari 2002 ketika seri 2-2.

Sejak itu, Juventus menang 12 kali dan seri empat kali menentang Torino dan mereka sekali lagi bakal menerapkan formasi 4-3-1-2 yang berjaya mengenepikan Lazio 3-0 di tempat lawan, minggu lalu.

Pemain pertahanan Simone Padoin, dilayangkan kad merah ketika permainan berbaki 20 minit di Rom sekali gus membenarkan Patrice Evra kembali diturunkan.

Pertahanan tengah Leonardo Bonucci memuji keberkesanan formasi baru bagi menggantikan formasi 3-5-2 sebelum ini. Dia percaya taktik terkini itu sudah membawa beberapa kejayaan buat Juve di Eropah.

“Perubahan taktik membuatkan kami semakin kuat dan berjaya di Eropah,” kata Bonucci.

“Ada kalanya kami berdepan satu sama satu dengan penyerang lawan tetapi kami mempunyai lebih pilihan di bahagian serangan. Kami akan menentang musuh setempat (Torino) dan perkara paling penting ialah menang.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:02 AM