IBRAHIM  bersama produk baharu keluaran Brahim's di Dewina Holdings.
IBRAHIM bersama produk baharu keluaran Brahim's di Dewina Holdings.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Kumpulan Syarikat Brahim’s-Dewina terus melebarkan kepakarannya dalam sektor makanan halal di peringkat antarabangsa dengan menjadi perunding dalam kalangan pemain industri asing yang berhasrat menerokai pasaran makanan halal, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sumber rujukan halal global.

Sejak sekitar lapan tahun lalu, syarikat itu menjadi perunding industri makanan kepada 31 dapur penerbangan di seluruh dunia tidak termasuk di Amerika Latin.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi berkata, ketika ini pihaknya memfokuskan pemain industri pemprosesan makanan di Jepun yang mana kebanyakan usahawan di negara itu mula agresif mengeluarkan produk halal.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapat perhatian daripada beberapa syarikat dari China dan Taiwan untuk melantik syarikatnya sebagai perunding halal.

“Malaysia amat dikenali sebagai negara yang menjadi pusat rujukan halal dan mereka memerlukan perunding halal yang mempunyai pengalaman di dalam bidang ini.

“Dengan adanya pengalaman luas mengeluarkan makanan siap proses halal dan sudah diimport ke beberapa negara, kita sedia berkongsi pengalaman dengan mereka serta membantu mengukuhkan segmen perniagaan sebagai perunding industri makanan halal,” katanya, di sini, semalam.

Kumpulan Syarikat Brahim-Dewina yang mempunyai dua entiti perniagaan, Brahim’s Holdings Bhd iaitu syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia dan Dewina Holdings Sdn Bhd (Dewina) yang merekodkan perolehan masing-masing RM300 juta dan RM125 juta pada tahun lalu.

Malah, syarikat yang amat dikenali sebagai jenama Brahim’s itu juga mempunyai beberapa segmen perniagaan berbeza di dalam syarikat Dewina antaranya makanan siap diproses, perunding dalam kajian industri makanan, pelaburan dan restoran. Ketika ini, Dewina turut mempunyai pusat pemprosesan makanan untuk tentera di Jordan dengan pegangan saham 50 peratus dan ekuiti selebihnya dimiliki kerajaan negara berkenaan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kesan ketidaktentuan ekonomi kepada perniagaannya, Ibrahim berkata, perkara itu memberi kesan tetapi syarikatnya masih dapat meningkatkan prestasi perniagaan dengan pertumbuhan sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 11:55 AM