IBRAHIM  (tiga dari kiri) merasmikan sambutan ulang tahun ke-30 Brahim’s di Bangi, semalam.
IBRAHIM (tiga dari kiri) merasmikan sambutan ulang tahun ke-30 Brahim’s di Bangi, semalam.
Nabil Basaruddin


Bangi: Kumpulan Brahim’s sedang meneliti untuk melaksanakan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) bersama dua syarikat di Jepun dan Korea bagi usaha sama membuka rangkaian restoran halal.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, kerjasama yang dijangka dimuktamadkan pada 2019 itu antara usaha strategik Kumpulan dalam mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan penyediaan makanan berkaitan penerbangan.

Beliau berkata, langkah itu adalah untuk menyeimbangkan sumbangan dari kedua-dua segmen penyediaan makanan berkaitan penerbangan dan bukan penerbangan menjadi 50:50.

“Bagaimanapun, usaha ini masih diperingkat rundingan awal sebelum sebarang perjanjian kerjasama dapat dimeterai kerana kami masih membuat pertimbangan sewajarnya mengenai hal ini.

“Kami optimis mengenai langkah strategik dalam mengembangkan segmen perniagaan ini khususnya dengan pengiktirafan dan nama baik dibawa jenama Brahim’s selama ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan majlis Sambutan Aidilfitri dan 30 Tahun Jenama Brahim’s di sini, semalam.

Majlis itu dihadiri Pengarah Urusan Dewina Holdings Sdn Bhd, Nur Fatin Ibrahim dan turut diadakan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Paling Lama kepada 65 kakitangan yang berkhidmat bagi tempoh 15 sehingga 30 tahun.

Ibrahim berkata, pihaknya juga bersedia untuk menarik lebih banyak pelanggan kepada beberapa syarikat penerbangan antarabangsa yang dijangka beroperasi kembali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Seperti yang kami dengar dari Malaysia Airports, ada banyak lagi syarikat penerbangan dijangka memulakan penerbangan di KLIA.

“Malah, syarikat yang menamatkan penerbangan sebelum ini seperti French Airlines dan KLM juga dimaklumkan bakal beroperasi kembali di Kuala Lumpur, jadi kami bersedia untuk memberikan tawaran terbaik kepada mereka,” katanya.

Katanya, Malaysia Airlines adalah pelanggan utamanya yang menyumbang kira-kira 50 peratus kepada segmen penyediaan makanan berkaitan penerbangan berbanding 80 peratus sebelum ini.

Katanya, pihaknya menerusi Brahim’s SATS Food Services Sdn Bhd, menyediakan perkhidmatan makanan kepada lebih 37 syarikat penerbangan komersial dan sewa khas.

“Berdasarkan kontrak tahun lalu, Qatar Airways sentiasa menjadi pelanggan penting kami dan Emirates Airlines serta All Nippon Airways juga termasuk antara lima syarikat teratas Brahim’s,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 7:54 AM