Nagoya: Brahim’s Dewina Group of Companies kini sibuk membantu Jepun memanfaatkan pasaran pelancongan Muslim yang semakin berkembang di negara berkenaan terutamanya dengan kedatangan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut laporan, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berusaha untuk meningkatkan pelancongan sebagai sebahagian daripada ‘Abenomics’, pelan pengukuhan semula pertumbuhan negara berkenaan.

Menjelang 2020, kerajaan negara itu berharap untuk meningkatkan bilangan pelancong tahunan kepada 20 juta.

Negara itu juga mengunjur 35 peratus daripada atlet di Olimpik 2020 beragama Islam. Bagaimanapun jumlah restoran yang menawarkan makanan halal di Jepun pada masa ini sangat sedikit.

Sebagai langkah permulaan, lapangan terbang ketiga terbesar di Jepun, Lapangan Terbang Antarabangsa Central Jepun (Centrair), memulakan usaha dengan menjadikannya ‘Mesra Muslim’.

Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Perniagaannya, Ahmad Husaini Hassan berkata, Centrair terletak di Nagoya adalah penerima Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax buat kali keempat sejak 2011, meminta Brahim’s Dewina Group membantu menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada mereka yang beragama Islam.

“Centrair menemui kami awal tahun ini dan sejak itu, kami sudah membantu, bukan saja dalam memenuhi keperluan umat Islam yang singgah di sana, tetapi juga mencadangkan kemudahan lain seperti ruang solat untuk mereka.

“Lapangan terbang ini sudah memenuhi cadangan itu,” katanya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, penumpang beragama Islam kini boleh menikmati makanan halal di dua restoran milik lapangan terbang yang turut menjual produk Brahim’s termasuk nasi lemak, nasi biryani dan rendang ayam.

“Walaupun sasaran awal ialah untuk menyediakan hidangan yang mencukupi bagi umat Islam, syarikat ini menyasar untuk pasaran yang lebih besar dengan menarik juga penumpang bukan Islam serta warga tempatan yang melawat lapangan terbang itu pada hujung minggu,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:07 AM