IBRAHIM dan Nur Fatin pada majlis pengenalan Kafe Mudah Alih berkuasa solar di MIHAS 2018, semalam.
IBRAHIM dan Nur Fatin pada majlis pengenalan Kafe Mudah Alih berkuasa solar di MIHAS 2018, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Kumpulan Brahim’s berhasrat untuk memperkukuh perniagaannya bagi segmen pengeluaran produk tulen (OEM) khusus untuk pasaran eksport ke rantau Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Urusan Kumpulan Brahim’s Dewina Holdings Sdn Bhd (Brahim’s) Nur Fatin Ibrahim berkata, permintaan tinggi terhadap produk OEM dengan pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah memberangsangkan, menjadikan ia sebagai peluang perniagaan yang baik kepada syarikat.

Beliau berkata, antara produk OEM yang dihasilkan adalah bagi pelanggan luar negara dalam menghasilkan produk makanan dengan pelbagai jenis pembungkusan seperti botol dan paket biasa.

“Tumpuan kepada tiga pasaran di Eropah, Jepun dan AS adalah peluang cerah kepada syarikat kerana ia membuktikan Brahim’s sebagai pengeluar produk makanan halal yang dipercayai.

“Dengan 30 tahun pengalaman dalam industri hidangan sedia dimakan (MRE) dan halal, kami mahu terus menawarkan produk yang ringkas dan memenuhi kehendak semua pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengenalan Kafe Mudah Alih berkuasa solar pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2018 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Brahim’s, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 6:29 AM