Oregon: Lelaki yang digelar ‘jiran paling teruk di dunia’ kini berada di penjara selepas polis menahannya kerana cuba mengupah seseorang untuk membunuh jirannya.

Pihak berkuasa menahan Jeffrey Wright Leonard, (gambar) 57, semalam atas tuduhan merancang melakukan pembunuhan.

Akhbar The Register-Guard melaporkan Leonard didakwa meminta seorang banduan berusia 30-an membunuh jirannya dengan merempuh kenderaannya.

Dalam nota yang dialamatkan kepada pihak berkuasa penjara, banduan yang dirahsiakan namanya itu berkata, Leonard memberitahunya laluan yang sering digunakan oleh jirannya dan mengarah dia membunuhnya pada hari Jumaat apabila dia dibebaskan dari penjara.

Mereka berkenalan ketika kedua-duanya berkongsi bilik kurungan beberapa bulan lalu selepas Leonard ditahan atas tuduhan menghina mahkamah.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah upah yang dijanjikan Leonard kepada banduan itu.

Leonard dan jirannya sudah sekian lama berselisih faham.

Dalam satu laporan polis, jirannya mendakwa lelaki itu sering menghalakan lampu limpah ke arah rumahnya dan pernah satu hari melontar najis anjing ke arah keluarganya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 1:10 PM