Kuala Lumpur: Dua atlet paralimpik negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhamad Ziyad Zolkefli yang meraih pingat emas di Sukan Paralimpik Rio membuktikan kebolehan mereka setanding atlet normal.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kejayaan bersejarah itu juga menunjukkan mereka mampu mengharumkan nama negara di peringkat Olimpik.

“Masih tak boleh lari daripada kemenangan Ridzuan dan Ziyad awal pagi tadi,” kata Khairy menerusi laman Facebooknya hari ini.

Khairy juga berkata, beliau berterima kasih kepada Ziyad kerana memberikannya semangat untuk mengubah persepsi dan layanan terhadap atlet kurang upaya.

“Terima kasih Ziyad kerana memberi saya semangat untuk mengubah layanan terhadap atlet para tiga tahun lalu. Hari ini Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang memberi insentif sama kepada atlet biasa dan atlet ‘luar biasa’.

“Pencapaian dan pengorbanan atlet para negara perlu diberi penghormatan sama seperti atlet lain,” jelasnya.

Awal pagi semalam, Ridzuan menjuarai acara 100m T36 (celebral palsy) dengan catatan 12.07 saat dan tidak lama kemudian, Ziyad menyumbang emas kedua negara dengan rekod baharu dunia acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dengan jarak 16.84 meter.

Catatan Ziyad itu memadamkan rekod dunia yang dicatat Todd Hodgetts dari Australia sejauh 16.29m yang dilakukan di Sukan Paralimpik London 2012.

Menurut Khairy, tiga tahun lalu, insentif yang diberikan kepada atlet paralimpik hanya 30 peratus daripada yang diterima atlet normal.

Namun selepas beliau dilantik sebagai menteri, Khairy memutuskan insentif yang diberikan kepada atlet normal dan paralimpik adalah sama.

“Waktu itu, saya menerima berita dari Lyon, Perancis, seorang atlet negara bernama Ziyad Zolkefli menang di Kejohanan Olahraga Dunia. Lepas saya terima berita itu saya tanya pegawai sama ada kementerian menyediakan insentif untuk kemenangan itu.

“Saya diberi jawapan memang ada. Tapi jumlah diberi kurang sebab ini sukan para. Saya tanya kurang berapa? Mereka menjawab atlet para dapat 30 peratus daripada nilai ganjaran atlet normal.

“Kemudian saya cadangkan kita tukar polisi ini. Bagi sama rata. Macam-macam hujah diberi untuk menafikan cadangan saya, Paralimpik ini baharu dan acara mereka tak banyak penyertaan selain terlalu banyak kategori acara, mudah untuk menang,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 8:41 AM