ABDUL Latif Romly, jaguh lompat jauh paralimpik.
ABDUL Latif Romly, jaguh lompat jauh paralimpik.
R Jeganathan  bukan saja berperanan sebagai jurulatih, tetapi juga 'bapa', 'abang' dan 'kawan karib' kepada atlet kurang upaya.
R Jeganathan bukan saja berperanan sebagai jurulatih, tetapi juga 'bapa', 'abang' dan 'kawan karib' kepada atlet kurang upaya.
MAJLIS penghargaan daripada syarikat katering Megah Selera kepada skuad olahraga paralimpik yang beraksi cemerlang pada Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan.
MAJLIS penghargaan daripada syarikat katering Megah Selera kepada skuad olahraga paralimpik yang beraksi cemerlang pada Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan.
Teks dan gambar Rodly Fadly


“Anda bukan orang biasa tapi anda luar biasa!” Antara laungan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin disambut tepukan gemuruh semua yang hadir di dalam dewan Kompleks Paralimpik Kampung Pandan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia ditujukan kepada atlet kurang upaya atau para, pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Para ASEAN di Singapura.

“Jangan pandang rendah kepada atlet paralimpik kita. Mereka bukan hanya mencipta pencapaian bukan saja di peringkat rantau Asia Tenggara, malah antarabangsa,” kata Khairy.

Kata-kata itu bukan sekadar untuk menaikkan semangat atlet kurang upaya yang bakal bertanding di Singapura tapi ia hakikat yang perlu diakui sememangnya mereka adalah insan luar biasa.

Bayangkan, dengan segala kekurangan yang membelenggu, ada antaranya mengalami kecacatan fizikal seperti kudung kaki atau tangan, buta, pekak dan lumpuh.

Namun, mereka berjaya memahat nama negara di mata dunia apabila memenangi pelbagai kejohanan sukan antarabangsa.

Ridzuan Mohd Puzi, 28, umpamanya, penghidap palsi serebrum, adalah pemenang pingat emas acara trek 100 meter kategori T36 di Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar, Oktober lalu.

Begitu juga dengan Abdul Latif Romly, 18, yang turut membawa pulang pingat emas acara lompat jauh kategori F20 dari kejohanan yang sama dengan memecahkan rekod 7.19meter yang dicipta Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol di Christchurch, New Zealand pada 2011.

Malah, beberapa nama seperti Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Hasihin Senawi (memanah) yang memenangi gangsa serta perak Sukan Paralimpik, London 2012.

Gandingan Cheah Lek Hou dan Hairol Fozi membawa pulang emas acara beregu Kejohanan Para Badminton Dunia 2015, Mohd Azwar Bakar (emas ping pong Terbuka Argentina dan Chile 2015) dan Jemeary Siga (emas acara renang Sukan Para Asean 2013) adalah antara yang sudah melakar sejarah di peringkat antarabangsa.

Malah negara juga pernah melahirkan jaguh trek para Asia, Allahyarham Mohammad Azlan Mat Lazim yang membawa pulang tiga pingat emas menerusi acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter dari Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Azlan menjadi sandaran utama untuk membawa pulang emas dari Sukan Paralimpik di Rio pada 2016, namun tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan jalan raya pada awal 2015.

Ketika atlet normal masih ketinggalan walaupun di peringkat Asia, jauh sekali Olimpik, atlet kurang upaya ini membuktikan bahawa kekurangan yang mereka miliki bukanlah penghalang untuk menggapai kejayaan.

Walaupun sebelum ini atlet kurang upaya tidak menerima pengiktirafan sewajarnya dan hanya dipandang ‘sebelah mata’, kejayaan demi kejayaan yang dilakar sekarang mula membuka mata banyak pihak termasuk kerajaan yang menghulurkan pelbagai bantuan dan insentif.

Nasib mereka kini lebih terbela dan tidak lagi diping­girkan. Bagi atlet yang terpilih dalam program khas Majlis Sukan Negara (MSN), mereka bukan saja disediakan asrama dan makan minum malah turut diberi elaun bulanan serta pelbagai kemudahan.

Malah Khairy dalam ucapannya mengumumkan atlet para yang berjaya meraih kejayaan bakal menerima habuan yang sama seperti dinikmati atlet normal.

Ia sudah dibuktikan kerajaan apabila Ridzuan dan Latif bakal mendapat durian runtuh RM80,000 seorang di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan ekoran kejayaan mereka di Doha.

Ridzuan, yang menghidap palsi serebrum sejak berusia setahun mengetepikan segala kekurangan untuk membuktikan dia juga boleh berjaya seperti orang normal.

“Saya tahu ramai yang memandang rendah kepada golongan seperti kami. Sebab itu saya berusaha keras untuk membuktikan kami juga mampu mengharumkan nama negara. Saya berlatih enam jam sehari, pagi dan petang, sama seperti atlet normal,” kata Ridzuan yang menghadapi kesukaran bercakap akibat penyakitnya itu.

Menurut ayahnya, Mohd Puzi Md Isa, bakat anak kedua daripada tiga beradik itu dikesan apabila Kementerian Belia dan Sukan Negeri Perlis membuat ujian pemilihan atlet kurang upaya pada 2004. Ridzuan yang menyertai acara 100 meter berjaya melepasi ujian.

“Ternyata, di situ rupanya rezeki dia. Sebelum itu sebagai ayah, saya memang risaukan masa depannya.

“Tapi kejayaan yang dicapai Ridzuan sekarang bukan datang dengan mudah,” kata Mohd Puzi.

Sebelum muncul pelari terpantas dunia di Doha, Oktober lalu, Ridzuan pernah meraih pingat emas acara lompat jauh serta dua pingat perak melalui acara 100 dan 200 meter di Sukan Para Asia 2014, di Incheon, Korea Selatan.

Rakannya, Abdul Latif, juga mempunyai cerita tersendiri di sebalik kejayaannya sekarang. Walaupun secara fizikal, dia tidak mengalami sebarang kecacatan, namun Latif menghidap ketidakupayaan intelektual yang turut dikategorikan sebagai kurang upaya.

“Saya hanya boleh membaca ketika berumur 15 tahun. Memang saya lemah dalam pelajaran. Tapi, saya sangat aktif di dalam sukan sejak di bangku sekolah hingga dipilih mewakili Perlis di Sukma pada 2014.

“Selepas kejayaan itu, MSN memilih saya menyertai projek khas mereka dengan menempatkan saya di kem latihan. Kerja kami hanyalah berlatih dari pagi dan petang setiap hari kecuali Ahad. Memang agak meletihkan tapi itulah pengorbanan yang perlu kami lakukan.

“Orang mungkin anggap saya tidak mempunyai masalah kerana tidak mengalami kecacatan fizikal tapi bukan mudah untuk bergelar juara dunia. Saya bertanding dengan peserta dari seluruh dunia yang sama kategori dengan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 5:01 AM