ALI (kanan) diasak pemain Pahang, Matthew Davies di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
ALI (kanan) diasak pemain Pahang, Matthew Davies di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
Asrol Awang

Kuantan: Impian Razip Ismail untuk menamatkan badi lima kekalahan tidak menjadi kenyataan apabila skuad bimbingannya tewas 0-2 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Darulmakmur malam tadi.

Satu gol pada setiap babak dihasilkan pelawat nyata mengecewakan Razip yang memburu kemenangan pertama selepas mengambil alih jawatan ditinggalkan Ahmad Shaharuddin Rosdi.

Namun, persembahan Pahang malam tadi menunjukkan peningkatan dengan pemain mempamer kesungguhan membolosi gawang pelawat tetapi tidak bernasib baik.

Peluang terbaik tuan rumah hadir menerusi penyerang Fauzi Rozlan pada minit ke-23 apabila hanya berdepan dengan penjaga gol lawan, Haziq Nadzli tetapi tendangan lemahnya mudah diselamatkan.

Selang tiga minit kemudian, Zesh Rehman hampir meletakkan skuad Tok Gajah di depan tetapi tandukannya melepasi palang gol selepas menerima hantaran German Pacheco.

PDRM yang jarang melancarkan serangan, mengejutkan peminat tempatan apabila Safuwan Baharuddin menewaskan penjaga gol Pahang Nasril Nourdin hasil keadaan kelam kabut di depan gawang pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Pahang yang ketinggalan, berusaha memberi tekanan kepada The Cops tetapi kekebalan benteng pertahanan pelawat sukar diruntuhkan.

Pada minit ke-75, penyerang import PDRM Ali Ashfaq mudah menjaringkan gol kedua pasukannya apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan Nasril.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 7:31 AM