KEADAAN sebuah bas ekspress melangggar sebatang pokok di KM 228.2, PLUS, arah selatan di sini, petang ini. FOTO ihsan bomba
KEADAAN sebuah bas ekspress melangggar sebatang pokok di KM 228.2, PLUS, arah selatan di sini, petang ini. FOTO ihsan bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Rembau: Bas ekspres yang terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menjadi antara punca kesesakan berhampiran Plaza Tol Pedas/Linggi di sini, petang ini.

Kesesakan dipercayai berlaku dari Pedas hingga ke Alor Gajah berikutan warga ibu kota berpusu-pusu pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Rembau Mazoraanim Abd Hamid berkata, dalam kejadian 4.13 petang, bas ekspress itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri.

Katanya, bas terbabit bernasib baik kerana tidak terjatuh dalam gaung sebaliknya tersangkut pada sebatang pokok.

"Sebaik kejadian, semua 27 penumpang termasuk pemandu bertindak keluar kenderaan.

"Bas ini dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Semua penumpang dipercayai mahu pulang ke kampung untuk meraikan Aidiladha," katanya.

Beliau berkata, semua penumpang selamat dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

"Keadaan jalan di lebuh raya kini begitu sesak. Orang ramai sudah mula berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 6:51 PM