RUMAH yang terbakar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RUMAH yang terbakar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Maiamalina Mohamed Amin


Kota Bharu: Wanita melecur di muka, rambut dan lengan ketika menyelamatkan anaknya selepas rumah dua tingkat mereka terbakar di Taman Sari, di sini.

Kejadian 9.45 pagi tadi menyebabkan mangsa, Nik Zainiah Nik Abdul Razak, 42, dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini untuk rawatan.

Sepupunya, Norizah Sahid, 48, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh ahli keluarga terdekat dan bergegas ke lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

"Ketika saya tiba, Nik Zainiah yang kami panggil Jai sudah cedera di mukanya, rambut dia terbakar dan lecur di lengan.

"Kecederaan dialami kerana dia cuba menyelamatkan anaknya berusia empat tahun yang berada di tingkat bawah rumah ketika itu. Dia sebelum itu dalam bilik di tingkat atas kerana tidur.

"Anaknya bagaimanapun tidak alami apa-apa kecederaan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Norizah tidak menolak kemungkinan kebakaran itu kemungkinan berlaku disebabkan litar pintas berikutan sebelum kejadian mereka mempunyai masalah dalam pemasangan pam air.

Dalam pada itu, Ketua Balai Zon Kota Bharu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II, Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.59 pagi.

"Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu tiba di tempat kejadian dalam tempoh lima minit dan bantuan turut diterima dari BBP Kota Darulnaim dengan satu jentera.

"Jumlah keanggotaan seramai 25 orang dan kediaman jenis kekal ini terbakar 70 peratus. Mangsa yang cedera dihantar ke HRPZ II dengan bantuan orang awam," katanya.

Beliau berkata, api berjaya dikawal dalam tempoh tujuh minit namun, kebakaran masih dalam proses pemadaman berikutan rumah yang padat barang.

Jumlah kerugian awal dianggarkan RM200,000 dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 1:03 PM