MOHD Zaim Che Alias, 36, (kanan) membawa ayahnya yang juga bekas penulis, Che Alias Mohd Noor, 67, melihat rumahnya yang terbakar yang dipercayai berpunca daripada litar pintas di Kampung Surau Kota. FOTO Fathil Asri
MOHD Zaim Che Alias, 36, (kanan) membawa ayahnya yang juga bekas penulis, Che Alias Mohd Noor, 67, melihat rumahnya yang terbakar yang dipercayai berpunca daripada litar pintas di Kampung Surau Kota. FOTO Fathil Asri
Rosliza Mohamed


SUAMI isteri warga emas yang sedang tidur di tingkat bawah rumah di Kampung Surau, Kota, Kota Bharu diselamatkan jiran selepas kediaman itu terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, Hashim Mahmud, 80, dan isterinya Rohani Ismail, 66, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah 100 peratus.

Turut musnah, rumah dihuni bekas penulis bebas Alias Mat Nor, 67, dan isteri Khalijah Ismail, 52, dan sebuah lagi kediaman yang terjejas 20 peratus.

Anak Hashim, Hisham, 47, berkata, ibu bapanya tidak menyedari api sedang marak di bahagian atas rumah mereka sehingga dimaklumkan jiran yang tinggal berdekatan.

"Mereka tidur di tingkat bawah yang dijadikan kedai runcit, hanya sedar berlaku kebakaran itu apabila jiran menjerit dan datang menyelamatkan mereka.

"Ketika itu juga ada kakitangan Tenaga Nasional Berhad yang sedang memeriksa meter untuk bil elektrik. Mereka yang sedar bahagian atas terbakar dan segera membawa keluar ibu bapa saya.

"Ayah sudah uzur dan terpaksa dipapah untuk keluar dari rumah. Saya sangat bersyukur ada jiran prihatin membantu mereka," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, dia bergegas pulang dari tempat kerjanya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu sebaik dimaklumkan kejadian.

Hisham berkata, rumah itu adalah kediaman pusaka yang sudah dihuni ibu bapanya lebih 40 tahun lalu dan kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim, Penolong Penguasa Bomba Wan Mohd Shahril Azizi Wan Said berkata, seramai 33 anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 9.32 pagi.

Empat jentera dikerah termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong dan Kota Bharu selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

"Ketika tiba, dua rumah jenis sementara terbakar 90 peratus, manakala sebuah rumah terjejas 20 peratus. Kita ambil masa 15 minit untuk mengawal api daripada merebak.

"Tindakan pantas membolehkan tiga lagi rumah terletak di belakang dan depan kediaman diselamatkan. Punca kejadian masih dalam siasatan, namun kerugian dianggarkan RM450,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 5:51 PM