Siti Rohana Idris


“SAYA dengar bunyi bising di tingkat atas dan menyangkakan ada yang pecah masuk tapi sebaik diperiksa, api sedang marak sehingga ke laluan tangga,” kata Azmi Salleh, pekerja di kedai runcit yang terbakar di Jalan Temenggong, Kota Bharu.

Azmi, 58, yang ketika itu sedang menjalankan urusan jual beli bersama pelanggan, berkata kejadian 2 petang itu tidak disedari sesiapa hingga kedengaran bunyi seperti orang mengemas diikuti bau asap.

“Selepas bunyi itu, bekalan elektrik tiba-tiba terputus menyebabkan saya mula mencari arah bunyi bising dan bau asap itu sebelum berlari untuk naik ke tingkat atas.

“Belum sampai separuh anak tangga dipanjat, saya ternampak api menyambar keluar dari pintu bilik tingkat atas dan saya segera berundur dan memberitahu seorang lagi pekerja,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, dalam keadaan panik, beliau keluar dari kedai runcit dan meminta orang ramai yang lalu lalang di hadapan kedai menghubungi pihak bomba.

“Bilik yang terbakar digunakan sebagai stor serta surau. Nasib baik ia berlaku selepas saya dan seorang lagi selesai tunaikan solat Zohor.

“Ketika kejadian pemilik tiada di premis dan syukur saya serta rakan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Azmi berkata premis itu sudah berusia lebih separuh abad dan tidak pasti jika ia berpunca daripada litar pintas atau bukan kerana pemiliknya sering membuat penyelenggaraan.

Foto hiasan
Foto hiasan

Sementara itu, Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Kanan Bomba II, Syobirin Abd Kadir, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.13 petang dan seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Kota Darul Naim dan Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi.

Beliau berkata sebaik tiba, kebakaran sedang marak di tingkat atas kedai runcit dua tingkat.

“Operasi dapat dikawal dalam masa 10 minit dan kedai runcit itu mengalami kebakaran sebanyak 60 peratus manakala premis menjual bunga sebelahnya hanya 15 peratus.

“Operasi tamat sepenuhnya jam 4 petang dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 8:49 PM