PERCAYA atau tidak wanita zaman dahulu hanya menggunakan bahan semula jadi yang turut dijadikan bahan masakan bagi mencantikkan kulit. Mereka percaya setiap yang dijadikan Allah itu ada fungsi tersendiri. Sebagai contoh tumbuhan herba seperti halia, serai dan kunyit bukan sahaja baik untuk membuang angin, tetapi juga dijadikan perawatan kulit.

Terkesan melihat wanita zaman dulu yang cantik kulitnya hanya menggunakan bahan alami mendorong Fyza Shah, menggunakan bahan yang sama untuk merawat wajah. Antara yang paling mudah disediakan adalah pupur menggunakan tepung beras dan susu segar untuk mencerahkan kulit dan mencegah jerawat.

“Sejak dulu beras digunakan sebagai pupur untuk mencerahkan kulit dan membuang kotoran dengan cepat. Beras dikisar halus dan dicampur air kemudian disapu ke seluruh badan. Biarkan seketika kemudian cuci dengan air,” katanya.

Menggunakan teknik yang sama campurkan tepung beras bersama susu segar yang disejukkan. Kacau menjadi pes dan bersalut pekat. Kemudian sapu ke seluruh wajah dan biarkan kering selama 20 minit. Selepas kulit terasa tegang bilas dengan air seperti biasa.

“Bagi mereka yang sering melakukannya kulit akan terasa halus, tegang dan lebih cerah. Ini kerana beras mengandungi agen pelindung matahari iaitu asid ferulik dan allantoin yang boleh bertindak sebagai pelindung semula jadi matahari, sekali gus mengelak kulit menjadi gelap,” katanya.

Menurut Fyza jadikan tepung beras ini sebagai pupur dan amalkan dua kali seminggu. Kandungan susu dan tepung beras mampu menyerap lebihan minyak pada kulit untuk mengetatkan liang pori.

Sapuan tepung beras akan menjadikan kulit lebih tegang, melambatkan tanda penuaan, menghilangkan garis kedutan, menganjalkan kulit dan mengangkat kulit yang kendur.

“Kulit menjadi segar bertenaga, tidak kusam dan lembap sentiasa. Tepung beras juga bersifat antiseptik, sekali gus melegakan jerawat dan bintik hitam pada muka,” katanya.

Tambah Fyza lagi, modal digunakan di bawah RM5 namun banyak manfaat diperoleh. Bahan alami juga tidak mendatangkan kesan radang seperti kemerah-merahan atau gatal.

Fyza yang sering berkongsi dengan pengikutnya menerusi laman Facebook mengakui pupur berasaskan tepung beras dan susu ini berjaya mencerahkan kulitnya serta menjadikan kulit lebih segar bermaya. Oleh itu dia sangat menggalakkan wanita mengamalkannya secara konsisten.

ENAM BAHAN MENCERAHKAN KULIT

1. Madu

Madu boleh bertindak sebagai agen pencerah dan pelembap kulit. Selain itu ia juga sebagai antibakteria. Caranya mudah sahaja sapu madu pada wajah dan biarkan selama lima minit kemudian cuci dengan air suam.

2. Betik

Ambil sepotong betik masak kemudian gosokkan isinya pada muka selama dua hingga tiga minit. Selepas itu bilas dengan air biasa.

3. Lemon

Gunakan hirisan lemon kemudian sapu pada kulit selama lima minit. Cuci bersih dan rasai kelembutan kulit anda. Lakukan dua kali seminggu.

4. Timun

Timun bukan sahaja menyegarkan mata, tetapi boleh menjadikan kulit lebih cerah. Caranya kisar timun kemudian sapu pada kulit selama lima minit. Basuh dengan air bersih.

5. Kunyit

Oleh kerana kunyit bersifat antiseptik, maka pupur kunyit baik untuk merawat wajah. Malah ia juga boleh mencerahkan kulit. Caranya, campurkan susu dengan kunyit terlebih dahulu, sapukan pada kulit dan biarkan selama 10 minit. Cuci dengan air .

6. Aloe vera

Aloe vera mampu menjadikan ton kulit lebih sekata. Ambil daun lidah buaya kemudian sapu bahan lendir pada kulit dan biarkan seketika. Cuci hingga bersih dan rasai kesegarannya selepas rawatan ini dilakukan.

Resipi buat Pupur Beras:

1. SEDIAKAN tepung beras dan susu segar.

2. MASUKKAN dua sudu tepung beras ke dalam bekas.

3. MASUKKAN susu segar bergantung kepada kepekatan bahan.

4. KACAU kedua-dua bahan ini hingga pekat. Jika sebaliknya tambah tepung atau susu pekat supaya sekata.

5. SAPU pada wajah atau kulit dan biarkan selama10 minit. Cuci wajah dengan air sejuk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 4:01 AM