KENANGAN Ahmad CB di samping Abang Gambar di Jalan Chow Kit.
KENANGAN Ahmad CB di samping Abang Gambar di Jalan Chow Kit.
Adam Salleh

Diselak fail lama, majoriti rekod mencatat nama sebenar Ahmad CB adalah Ahmad Cass Bara. Singkatan CB itu untuk tarikan komersial.

Menyorot atikel minggu lalu perihal pencipta dan penyanyi asal lagu Tanggal 31 itu, ada hamba Allah tampil memberi penjelasan ketika hayat ada, setiap kali ke Kuala Lumpur tiada orang lain yang dicari Ahmad CB kecuali kawan rapatnya dipanggil Jalal atau Abang Gambar.

Hubungan akrab Ahmad CB dengan Abang Gambar ini jelas setiap kali diundang Gapena (Gabungan Persatuan Penulis Nasional) ke Kuala Lumpur, Ketua Satu Gapena, Tan Sri Profesor Ismail Hussein mempelawa tinggal bersama keluarganya, tetapi Ahmad CB menolak dengan alasan lebih selesa menetap di rumah sewa Abang Gambar iaitu rumah kedai di Jalan Chow Kit yang berhampiran dengan lorong gelap.

Hasil selidik serta menghubungi beberapa kenalan, akhirnya penulis berjaya bertemu Abang Gambar ini di Restoran Haslam kelmarin. Banyak cerita mengenai Ahmad CB dikongsi bersama, yang pastinya boleh membantu generasi akan datang sekiranya tiba masa mereka mahu buat tesis atau mengkaji Ahmad CB ini, pahlawan seni yang berjuang di sebalik kemerdekaan nusantara Melayu, Malaysia dan Indonesia.

Apabila penulis bertanyakan benarkah nama Ahmad CB itu Ahmad Cass Bara?” dijawab pantas Abang Gambar, “Siapa kata!” Menurut Abang Gambar, nama sebenar Ahmad CB itu Ahmad bin Awab. Rahsia perkataan Cass Bara itu adalah refleksi jiwanya yang sentiasa membara dan perlu dicas (elektrik) setiap hari agar tenaganya tidak luntur. Memang benar semangatnya begitu membara untuk mencipta lagu Tanggal 31 sebaik mendapat tahu Malaya akan merdeka. Walhal ketika itu beliau berada di Batam untuk ‘road tour’ kumpulan bangsawannya.

Tanpa berlengah Ahmad CB sanggup menaiki perahu merentas Selat Singapura untuk merakam suara Tanggal 31. Dari Batam ke Singapura jika menggunakan feri laju dalam 45 minit, tetapi sekiranya berperahu seperti dilakukan Ahmad CB, ia bergantung kudrat sang pengayuh.

Selesai proses rakaman lagu Tanggal 31 itu, Ahmad CB patah balik ke Batam meneruskan kegiatan bangsawannya. Lagu dan lirik Tanggal 31 itu ditulis Ahmad CB dalam jawi. Jika diamati kembali liriknya, Ahmad CB sengaja tidak mahu letak perkataan Ogos lalu diganti bulan lapan.

Sebabnya lidah Ahmad CB masih kuat dengan telo Indonesia dan sekiranya bulan lapan itu diganti Ogos, pastilah dia menyebut Agustus. Bayangkan jika perkataan Agustus itu diguna pakai, sudah tentulah kita akan menyanyikan begini, “Tanggal 31, bulan Agustus 57!”

Lagu Tanggal 31 itu ketika itu tidaklah sepopular sekarang. Sehinggalah apabila Datuk Sudirman Haji Arshad menyuntik nafas baru pada lagu itu dalam album diterbitkan komposer S Atan. Sebelum itu, Sudirman (Allahyarham) bersemuka dengan Ahmad CB untuk minta izin.

Dan hasilnya Ahmad CB bukan saja berpuas hati bahkan menganggap Sudirman anak seni sarat kreativiti apabila membawa kanak-kanak ke studio rakaman bagi menjadi suara latar menyanyikan lagu Tanggal 31 itu. Abang Gambar tidak tahu apakah Sudirman memberi imbuhan.

Dek lagu itu juga sekitar 1993, pengacara program Sekapur Sireh, Aziz Desa (Allahyarham) yang mengetahui Ahmad CB berada di Kuala Lumpur menghubungi Abang Gambar mohon jasanya membawa Ahmad CB ke studio TV3 di Jalan Liku, Bangsar, bagi sesi interviu.

Abang Gambar dan Ahmad CB ke Jalan Liku pagi itu hanya menaiki teksi. Melalui sesi interviu itulah Ahmad CB meluahkan kata-kata azimatnya, “Saya dilahirkan di Medan tetapi dibesarkan di Singapura dan Malaya. Ibarat kata orang badan di Indonesia tetapi jiwa saya di Semenanjung kerana itulah saya hasilkan lagu Tanggal 31.” Sebaik interviu selesai, Aziz menghulurkan RM100 kepada Ahmad CB dan sebagai menghormatinya sebagai tokoh dan tetamu, pihak TV3 menghantar Ahmad CB dan Abang Gambar pulang menaiki van.

Menyingkap peribadi, Ahmad CB bukanlah sebatang kara sebaliknya pernah berkahwin dengan perempuan Melayu di Medan dikurnia tujuh anak (sulung bernama Faridah). Beliau berkahwin lagi dengan perempuan Jawa di Jakarta tetapi tidak diketahui mempunyai anak atau tidak.

Ahmad CB lahir antara 1907 atau 1908 dan meninggal dunia pada 1997 di Medan selepas seminggu terjatuh tiba-tiba di dalam rumahnya. Selama hayatnya Ahmad CB sudah menghasilkan 98 lagu termasuk lagu joget Rentak 106, namun tidak pasti apakah dia mendapat royalti?

Ikutkan, hati Ahmad CB sudah terbuka jadi warganegara Malaysia, bahkan diberi lampu hijau oleh Tan Sri Sanusi Junid, namun hasratnya itu terencat pada waktu sama Presiden Indonesia, Suharto memberi pengiktirafan padanya dan diberi pencen mengenang jasanya menentang penjajah Belanda melalui kegiatan bangsawan. Bak kata Ahmad CB, “Saya ini tokoh dua negara, tetapi taat setia tetap pada Tanah Melayu.”

Penulis ialah Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 9:07 AM