MUZIK Adalah Harta buku Manan  untuk khazanah seni tanah air.
MUZIK Adalah Harta buku Manan untuk khazanah seni tanah air.
Adam Salleh

Tika hadir di majlis perasmian Menara Maybank sekitar 1988, terpingga-pingga penulis tidak tahu mahu menyapa siapa. Sebagai wartawan hanya menerima arahan membuat liputan mercu tanda baru Kuala Lumpur dirasmikan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Tidak semena-mena terpandang kelibat Manan Ngah. Lalu penulis pun menghampiri Manan dan kami duduk di barisan sama.

Barulah faham, Manan hadir di hari bersejarah itu kerana lagu korporat bank berkenaan ciptaannya. Dia juga aktif membuat lagu iklan. Pertemuan dengan Manan itu bukan kali pertama. Sebabnya, ketika bertugas di akhbar politik, Mingguan Kota, penulis pernah menemubual Manan.

Wartawan baru bertatih mahu berjumpa orang ternama seriaulah juga. Mujurlah di pejabat penulis, bertandang bekas wartawan akhbar Watan juga pengarah drama, Norhan Mahmud yang juga orang ‘sekapal’ Manan, lalu dia minta sebut namanya sebaik bertemu Manan.

Masih tidak lekang diingatan penulis bertemu kali pertama Manan di pejabat WEA Records (kini Warner Music Group), soalan yang ditanya,” kamu dari ITM (kini UiTM) ker?” Hampir 30 tahun selepas pertemuan itu, minggu lalu Manan bersama Norhan pula ke pejabat Harian Metro (HM) bertemu penulis. Seperti biasalah, Manan jika ke Bangsar, kena ‘layan’ dia makan nasi beringin di Mutiara Bangsar ini.

Kunjungan Manan tempoh hari bukan untuk promote lagu atau artis, sebaliknya hadir bersama produk terbarunya iaitu buku. Wow! Buat julung kali sejak zaman Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee belum pernah kita lihat adanya buku muzik ditulis profesional itu sendiri.

Kalau ada pun mungkin cuma teori dan muzik untuk pendidikan ditulis pendidik muzik dalam konteks buku untuk pendidikan. Nyatalah buku Muzik Adalah Harta (MAH) bukan sekdar menyorot perjuangan Manan di bidang seni selama tiga dekad, bahkan menyedarkan penggiat hiburan (terutama pencipta lagu) betapa muzik itu adalah harta yang akan menjadi khazanah berharga selepas kita menutup mata.

Terasa bertuah kerana penulis antara insan terawal diberitahu Manan sejak dua tahun lalu mengenai hasratnya mengabadikan memoir/biografinya dalam bentuk buku. Muzik Adalah Harta lebih menekankan konsep ‘best selling book’ bukan ‘best award book.’

Justeru, selain menyisipkan gambar personal Manan bersama memori silam, buku ini boleh menjadi rujukan penting buat pelajar pengajian muzik bahkan mereka yang berminat untuk menjadikan muzik sebagai sumber harta kerana ia turut memberi info dan mengajar pelbagai teknik mencipta lagu, teknik menggubah lagu, teknik mencipta lirik/senikata serta aspek rakaman dan penerbitan sesebuah lagu atau album itu.

Pelbagai tokoh seni tanah air antaranya Fauzi Marzuki, Datuk Rosyam Nor, Datuk Ramli MS, Helen Yap, Azam Dungun dan Francisca Peter turut mengabadikan kata-kata aluan tanda sokongan dan penghargaan di atas usaha murni Manan menghasilkan Muzik Adalah Harta.

Bagi Generasi Z atau iGeneration barangkali asing dengan nama Manan Ngah ini, namun ia tidak sesukar mana mendapat informasi kerana semuanya ada di hujung jari. Menyorot latar Manan, bekas anggota The Brain Connection yang popular dengan lagu Aku Dan Kenangan ini, kini sudah menghasilkan sekitar 300 lagu, antaranya Aku Kehilanganmu, Kerna Terpaksa (Francisca Peter), Merisik Khabar, Salam Terakhir (Sudirman), Sebuah Ilusi (Sharifah Aini), Hari Raya Bahagia (Jay Jay) Zapin Rindu-Rinduan (Sheqal) dan Kepulangan (Razis Ismail).

Pastinya Sekadar Di Pinggiran nyanyian Francisca ‘masterpiece’ Manan, tetap terpahat dalam sejarah seni tanah air sebaik muncul juara pertama, Anugerah Juara Lagu pada 1986. Namun, ramai tidak sedar, lagu pertama dihasilkan Manan berjudul Penderitaan Yang Tiada Berakhir nyanyian Rohana Jalil, lirik oleh Juwie (Allahyarham) dalam album Rohana berjudul Di Suatu Ketika diterbitkan Taib Osman pada 1983.

Itulah julung kali Manan bekerja di studio dengan Taib Osman (Allahyarham) dan album itu dikeluaran AB Records milik Ali Bakar. Di sisi lain kehadiran Manan sebagai pencipta lagu (selain Datuk M Nasir) pada awal 80-an bolehlah diibaratkan antara karyawan muda yang berjaya memecahkan monopoli komposer atau pencipta lagu veteran seperti Ahmad Nawab (Datuk), S Atan malah Taib Osman itu sendiri.

Kian jauh kita melayari kehidupan ini, tanpa kita sedari ramai karyawan seni tanah air sudah meninggalkan kita. Nama seperti Adnan Abu Hassan, Adam Ahmad, Rahim Othman, Syed Haron Syed Ahmad, Megat Ismail Megat Ibrahim, Osman Ghani, Ahmad CB adalah antara kelompok pencipta dan penggubah lagu yang meninggalkan berlambak khazah lagu malangnya mereka tidak sempat menghasilkan buku.

Untuk menghasilkan buku memerlukan kos tinggi dan tidak mustahil andai ada bajet pastinya komposer dinyatakan tadi boleh hasilkan buku. Justeru Muzik Adalah Harta yang akan dipasarkan November ini hadiah berharga dari Manan buat kita terlanjur hayatnya dikandung badan.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 8:54 AM