SHILA tawan China.
SHILA tawan China.
YUNA  popular di Amerika Syarikat.
YUNA popular di Amerika Syarikat.
SITI NURHALIZA tawan Nusantara Melayu.
SITI NURHALIZA tawan Nusantara Melayu.
Adam Salleh

Awal 90-an penulis ke Kampung Pandan mencari Kamariah Noor (kini Allahyarham) yang uzur. Kunjungan penulis menemui penyanyi lagu asli yang popular dengan lagu Perigi Biru ‘soundtrack’ filem Bawang Putih Bawang Merah memang patutlah. Sebab kerja penulis sebagai wartawan, diamanahkan mencatat apa saja kegiatan atau apa terjadi pada seseorang insan seni itu.

Yang cukup mengharukan kerana sebelum kunjungan penulis, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj terlebih dulu menjenguk Kamariah. Ketika berborak dengan Kamariah, seronok mendengar cerita beliau mengenai kesungguhan Bapa Kemerdekaan itu mencari kediamannya, sampai sesat. Namun inilah yang dikata orang berbudi, kita berbahasa dan Tunku Abdul Rahman selaku putera Sultan dan tokoh negarawan tersohor sanggup merendah diri berjumpa Kamariah kerana beliau tahu Kamariah itu adalah khazanah seni.

Sebaik tersiar artikel mengenai keuzuran Kamariah Noor itu di majalah Pesta, pemuzik Freddie Fernandez (Datuk) berminat menemui beliau. Lalu penulis aturkan pertemuan Freddie turut bersama Salamiah Hassan dan vokalis kumpulan Freedom, Seha (Allahyarham) untuk menemui Kamariah di kediamannya itu demi menghargai Kamariah sebagai khazanah seni negara.

Memetik Kamus Dewan, khazanah bermaksud harta dan sudah semestinya setiap harta itu haruslah dipelihara begitulah dengan insan seni sama ada pengarah, komposer, pelakon atau penyanyi kerana setiap karya yang dihasilkan mereka ketika hayat dikandung badan kelak menjadi warisan paling berharga untuk dinikmati daripada generasi ke generasi.

Presiden Amerika Syarikat, Obama sendiri begitu menghargai insan seni, sebagaimana anugerah pernah diberi kepada Paul McCartney, begitu juga dengan kerajaan Britain menganugerah Sir pada Elton John. Dan kerajaan kita tidak terkecuali apabila mengangkat Seniman Agung, P Ramlee sebagai pelakon dan pengarah filem pertama dianugerah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (Ahli Mangku Negara) pada 1962 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan pada 6 Jun 1990, P Ramlee yang diwakili anaknya, Nasir (Allahyarham) dikurnia pula Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Shah yang membawa gelaran Tan Sri.

Sejak itu bertali aruslah insan seni kita dikurniakan anugerah terpuji seperti Tan Sri Jins Shamsuddin, Tan Sri SM Salim, Datuk Sharifah Aini, Datuk Sudirman, Datuk Jefrydin, Datuk David Arumugam, Datuk DJ Dave, Datuk Yusni Hamid, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Sheila Majid, Datuk M Nasir, Datuk TS Jeffry, Datuk Ramli Sarip, Datuk Ramli MS, Datuk Ahmad Jais, Datuk Zulkiflee M Osman dan yang terbaru Datuk Awie. Pendek kata, jika duduk dalam kumpulan 100 artis, tidak mustahil salah seorang daripada mereka itu melekat status ‘Datuk.’

Bagaimanapun sejarah tetap sejarah, artis pertama mula dikurniakan ‘Datuk’ adalah Shake. Penyanyi kelahiran Johor Bahru yang nama penuhnya Sheikh Abdullah Ahmad Bahweres dikurniakan darjah terpuji itu sebagai menghargai pencapaian cemerlangnya mencipta nama di Perancis. Heroin James Bond, Michelle Yeoh sekalipun tidak membabitkan diri dalam arena perfileman tempatan, tetapi popularti yang dicipta di pentas global dengan jolokan ‘Ipoh mali’ melayakkan beliau untuk dianugerah Datuk kemudian Tan Sri pada 2013.

Selain menabur jasa gemilang di tanah air sendiri, insan seni yang berjaya memahatkan nama mereka di persada dunia adalah khazanah seni paling cukup berharga. Mereka bak permata nilam yang perlu dijaga. Umpamanya Shake sendiri merentas benua sejak remaja, begitu juga Sudirman melakar populariti sebagai Penghibur Terbaik Asia di Royal Albert Hall London, Aishah (The Fan Club) di New Zealand dan lebih istimewa di era digital ini tiga diva kita Datuk Siti Nurhaliza, Yuna dan Shila Amzah boleh diterima oleh kelompok peminat mereka di negara asing.

Penguasaan Siti Nurhaliza di Nusantara Melayu sememangnya perlu ditabik dengan mengambil kira kelompok peminatnya di Singapura, Indonesia dan Brunei, manakala Yuna yang berduet dengan Usher sudah diterima di Amerika Syarikat dan pastilah Shila Amzah perlu ditabik juga sebagai penyanyi Melayu bertudung boleh diterima di China. Kita barangkali cepat terangsang emosi jika mengagung-agungkan artis luar tetapi berbeza di China, apabila penghibur terkenal dunia, Julio Iglesias dalam ‘tour’ di China memilih Shila Amzah untuk berduet dengannya, sekalipun pihak China memberi profil beberapa nama penyanyi terkenal republik mereka untuk dipilih Julio, namun masing-masing terpaksa akur penyanyi dari Malaysia yang dapat memikat Julio.

Rakyat Malaysia di kala ini masih dalam mood ceria dengan kejayaan pemain, Faiz Subri yang dikurniakan Anugerah Puskas oleh FIFA baru-baru ini. Pelbagai insentif dan ganjaran wang tunai pada pemain Pulau Pinang itu selain jolokan sebagai ‘wira negara.’ Insan seni seperti Siti Nurhaliza, Yuna dan Shila Amzah bolehlah diumpama wirawati pula kerana berkat kesungguhan dan kecekalan mereka mengharungi pahit getir dalam bidang nyanyian, nama Malaysia terpahat indah di persada dunia dan wajarlah menjadi bahan lipatan sejarah perlu dirakam sebagai khazanah seni negara.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 10:17 AM