AHMAD CB pencipta lagu Tanggal 31.
AHMAD CB pencipta lagu Tanggal 31.
Adam Salleh

“Tanggal 31, bulan lapan lima puluh tujuh,

merdeka, merdeka, tetaplah merdeka,

ia pasti menjadi sejarah,

tanggal 31, bulan lapan lima puluh tujuh,

hari yang mulia,

hari bahagia,

sambut dengan jiwa yang merdeka”

Tanggal 31, detik keramat buat kita rakyat Malaysia dan pada hari ini 31 Ogos, genaplah 59 tahun negara tercinta bebas daripada cengkaman penjajah. Tidak berseri merdeka tanpa diwarnai dengan lagu untuk kita hayati sekali gus bagi menajamkan jati diri buat ibu pertiwi.

Mengait lagu Tanggal 31, majoriti generasi kini maklum lagu itu mempunyai kaitan dengan kemerdekaan dan dinyanyikan oleh Sudirman Haji Arshad (Allahyarham, Datuk). Cuma ramai yang keliru apabila ditanya siapakah penciptanya, nama Sudirmanlah acapkali dikaitkan.

Sejak bermula bulan kemerdekaan, radio paling meriah menyiarkan lagu Tanggal 31. Versi nyanyian Sudirman yang menjadi pilihan, berbanding versi asal lagu itu yang dicipta dan dinyanyikan juga oleh Ahmad CB (Allahyarham) 60 tahun lalu setahun sebelum merdeka.

Tidak banyak informasi perihal Ahmad CB hinggakan kita sendiri tidak tahu bilakah tarikh lahir dan kematiannya. Inilah kelemahan pihak kita tidak menyimpan dokumen berharga tokoh seni tanah air buat rujukan generasi akan datang. Penulis hanya berpeluang bersemuka Ahmad CB pada penghujung 1980-an dulu, ketika beliau datang tiba-tiba ke pejabat penulis di Harian Kota di Jalan Genting Klang, Setapak.

Berlaku salah faham di antara kami, lalu Ahmad CB tidak semena-mena beremosi terus meninggalkan pejabat itu. Insiden penulis dengan Ahmad CB ketika itu disaksikan Dhalan Maamor (kini personaliti televisyen) yang ketika itu wartawan politik di akhbar sama dengan penulis.

Bagi penulis yang ketika itu berusia 22 tahun dan baru setahun jagung menjadi wartawan, terkedu berurusan dengan tokoh seni tersohor seperti Ahmad CB yang berusia lebih setengah abad. Sesudah tiga dekad bergelumang di bidang ini, dapatlah ditafsirkan orang seni seperti Ahmad CB yang banyak menabur jasa mudah sensitif jiwanya andai kata apa yang kita tanya itu menyinggung perasaan mereka.

Usahkan penulis, mengikut cerita kawan rapat P Ramlee (Allahyarham, Tan Sri) Ahmad CB pernah bengang dengan Seniman Agung itu kerana menyanyikan lagu ciptaannya Bulan Mengambang. Penulis cuba mencari kesahihan memanglah ada lagu nyanyian P Ramlee berjudul Bulan Mengambang, tetapi tidak ditemui versi Ahmad CB, kecuali versi R Azmi (Allahyarham) menggunakan judul sama Bulan Mengambang.

Cuma yang beza, intro lirik versi P Ramlee menyebut, “Bintang terang bulan mengambang, sayalah duduk di muka pintu. Bila kupandang wajahmu puan, sedikit tidak menaruh jemu. Versi R Azmi pula, “Di langit biru, bulan mengambang, tidak jemu mata memandang.”

Bagaimanapun ketika dirujuk kepada bekas Ketua Pengarah FINAS, Datuk Zain Hamzah, lagu Bulan Mengambang nyanyian awal Ahmad CB, tetapi beliau tidak pasti siapakah penggubah lagu itu. Ketika bertugas sebagai penyiar (juruhebah) di Radio Malaya (Singapura) pada 1956, kata Zain lagu Tanggal 31 nyanyian dan ciptaan Ahmad CB itu menjadi lagu pilihan untuk dikeudarakan menjelang detik kemerdekaan negara.

Berasal dari Medan, nama Ahmad CB adalah singkatan nama sebenarnya Ahmad Chass Baras. Melalui program Seulas Pinang (TV3) pada 1993, Ahmad CB kata lagu Tanggal 31 dicipta dengan tujuan menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

Agak dramatik bagaimana lagu Tanggal 31 ini tercipta. Mengikut cerita mulut ke mulut, Ahmad CB ketika itu berada di Indonesia dan apabila dikhabarkan Malaya (nama ketika itu) akan merdeka, jiwa seni Ahmad CB meronta-ronta mahu turut menabur jasa buat anak bangsa.

Lalu beliau sanggup berkolek (ada yang kata menaiki bot) merentas Selat Melaka ke Singapura untuk merakam suara lagu Tanggal 31. Sebaik proses rakaman selesai, Ahmad CB pulang ke Indonesia. Cuma usah kita bayangkan senario politik Malaysia, Indonesia dan Singapura seperti sekarang kerana dahulu nusantara Melayu ini bebas untuk warga setempat keluar masuk kerana ini kampung halaman mereka.

Ini bertepatan sebagaimana pernah disuarakan Ahmad CB yang wajar kita jadikan azimat, “Saya dilahirkan di Medan, tetapi dibesarkan di Singapura dan Malaya. Ibarat kata orang, badan di Indonesia tetapi jiwa saya di Semenangjung kerana itulah saya hasilkan lagu Tanggal 31.”

Selain Tanggal 31, banyak lagu Ahmad CB menjadi santapan halwa telingga kita selama ini seperti Belo-Belo (duet bersama Puan Sri Saloma), Enjit-Enjit Semut, Cincin Belah Rotan, Gelora Asmara, Kacang Goreng, Geylang Waktu Petang dan lagu joget Rentak 106.

Ketika berusia 79 tahun pada 1994, Ahmad CB memberi nafas baru lagu Belo-Belo bersama penyanyi remaja, Tushee. Menariknya lagu Rentak 106 ciptaannya mewujudkan ‘roh nusantara Melayu’ kerana pernah dinyanyikan bersama Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Rossa dalam konsert di Istana Budaya. Dinyanyikan semula Emilia Contessa dengan judul Pak Ketipak Ketipung dan yang mahalnya Pengarah Terbaik Festival Filem Asia 2013, Riri Riza (Mohammad Rivai Riza) mengabadikan lagu Ahmad CB itu dalam filem arahannya, Sang Pemimpi.

Sang pemimpi itu bagai refleksi diri Ahmad CB itu sendiri kerana kehidupan dijalani sebatang kara dan sehingga ke akhir hayatnya beliau hanya bermimpi untuk merasai royalti lagu ciptaannya, tetapi tidak tertunai. Justeru ingat Tanggal 31, kenangi hamba seni Ahmad CB.

Penulis ialah Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 8:28 AM