Polis menggunakan anjing pengesan bagi membuat pemeriksaan berikutan penemuan bahan letupan di sebuah unit kondominium di Damansara Perdana pagi tadi. - Foto GHAZALIKORI
Polis menggunakan anjing pengesan bagi membuat pemeriksaan berikutan penemuan bahan letupan di sebuah unit kondominium di Damansara Perdana pagi tadi. - Foto GHAZALIKORI
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Penemuan bahan letupan dalam sebuah bilik di tingkat 17 Kondominium Metropolitan Square, Damansara Perdana, Petaling Jaya di sini, pagi tadi, tiada kaitan unsur keganasan atau Daish.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keselamatan negara terkawal dan pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keganasan.

"Keselamatan negara terkawal walaupun ada usaha pihak tertentu membuat bom sendiri.

"Pihak polis sudah melakukan bagi menentukan motif dan mendapati kejadian berkenaan tiada kaitan Daish. Ia disebabkan perbuatan individu tertentu," katanya pada Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Hadir sama Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Othman Muhamad, Ketua I Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar dan Ketua II GAPENA Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan.

Bom berkenaan ditemui di sebuah rumah di Damansara Perdana selepas serbuan kira-kira jam 4 pagi tadi.

Ketika serbuan, suspek melarikan diri dan hasil siasatan dalam rumah berkenaan turut menemui dadah jenis syabu dan ecstasy.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan memberi jaminan keselamatan penghuni pangsapuri terbabit dan penduduk sekitar, adalah terjamin.

Pada majlis sama, beliau mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan RM5 juta kepada GAPENA bagi membolehkannya menjalankan pelbagai program bahasa dan kesusasteraan di negara ini serta menaik taraf pagar Rumah GAPENA di Bukit Petaling, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:09 PM