SYAMSUL cipta sejarah dirai suam-suam kuku.
SYAMSUL cipta sejarah dirai suam-suam kuku.
Adam Salleh

Bukan calang anugerah diterima Syamsul Yusof. Anugerah yang diimpikan setiap pengarah filem di seluruh Asia kembali menjadi milik Malaysia sebaik Syamsul diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasific (FFAP) Ke-57 di Phnom Penh, Kemboja hujung Julai lalu. Dalam usia 33 tahun, pengarah ‘versatile’ ini mencipta sejarah melalui filem Munafik, sementara Yasmin Ahmad (Allahyarham) pernah merangkul anugerah kategori sama pada FFAP Ke-54 di Taipei pada Disember 2010 melalui filem Mualaf juga filem terakhir arahan beliau.

Tanggal 2 Ogos (Rabu) lalu dianjurkan majlis kesyukuran di atas kemenangan Syamsul itu di Dewan Cempaka, Restoran Haslam di Jalan Pahang. Sekalipun tidak diundang, penulis hadir sesudah dimaklumkan wartawan hiburan, Raja Nurfatimah Mawar mengenai majlis itu kerana mahu melihat depan mata kepala sendiri detik bersejarah buat penggiat filem tanah air.

Turut hadir pada majlis itu ibu bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail; Datuk Rahim Razali, Panshah (Panchacharam Nalliah) sebagai wakil negara yang mengambil anugerah bagi pihak Syamsul dan Pengerusi FINAS, Datuk Khusairi Abdul Talib. Kenalan artis seperti Mawi, Adam Corrie Abdullah dan isteri serta A Galak juga hadir beri sokongan.

Sebaik majlis berakhir masing-masing ‘hepi’ (ceria) Syamsul sudah diraikan. Namun jauh di relung hati penulis berdetik ‘cikai’ benar cara kita meraikan Syamsul! Di kala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu melihat generasi era siber mencipta seberapa banyak kejayaan di pentas antarabangsa dalam menghadapi Transformasi Nasional 2050 (TN50), kita cuma meraikan Pengarah Terbaik Asia iaitu anak watan kita sendiri hanyalah di restoran. Selaku pemilik Skop Production, Yusof wajar meraikan Syamsul kerana Syamsul itu produk syarikatnya.

Tidak sewajarnya Syamsul diraikan sebegitu kerana anugerah yang dimenanginya itu boleh menjadi inspirasi sekali gus menyuntik semangat pengarah junior untuk mencipta kejayaan sama. Harus diingat perfileman kita dibandingkan dengan negara Asia lain umpamanya China, Korea, Jepun, India termasuk Australia, Thailand dan Indonesia, berapa keratlah masyarakat dunia bercakap perihal filem kita? Mahu menembusi layar lebar negara tetangga pun masih terkial-kial sementelah majoriti filem kita hanya terdaya berkokok di laman sendiri.

Takdirnya, kata nista, cemuhan dan dipandang sebelah mata oleh pihak tertentu terhadap perfileman kita, tiba-tiba mencelah Syamsul menjadi yang terbaik di Asia. Pastilah ia magis berharga yang mengkagumkan. Seperti dijelaskan Pansha, di FFAP Ke-57 sebanyak 23 negara Asia bertanding dan yang mahalnya juri dari Jepun puji melangit kreativiti Syamsul itu.

Lebih manis sewaktu berlangsungnya FFAP Ke-57 dari 28 hingga 30 Julai itu, artis dan karyawan kita di mana filem mereka bertanding turut menjadi delegasi. Bonus buat negara, andai pada malam bersejarah itu, Syamsul naik pentas mengambil anugerah, sudah pastilah wajahnya menjadi tumpuan lensa wartawan Asia dan impaknya kita berhasil mempromosikan produk kita.

Mendengar cerita Yusof agak lucu sebaik dimaklumkan kemenangan itu melalui aplikasi WhatsApp, beliau memaklumkan Syamsul yang ketika itu nyenyak tidur selepas menjaga anak. Sudahlah Syamsul tidak dibawa ke Phnom Penh, majlis yang diraikan Syamsul tempoh hari, ikut pengalaman penulis lebih gemilang Anugerah Video Pelajar UiTM suatu ketika dulu.

Penulis katakan gemilang kerana di anugerah video itu penulis turut menjadi juri selain Datuk Shuhaimi Baba, Mat London, Amir Muhammad dan gemilangnya pemenang turut diraikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Ini Syamsul menang di peringkat Asia, apakah majlis meraikan beliau hanya berakhir atau setakat di restoran ayahnya sendiri?

Sepatutnya FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) harus lebih peka, sensitif dan reti meraikan kejayaan Syamsul yang mengharumkan nama negara. Ucapan Khusairi pada malam itu jelas tidak relevan di kala kita hadir pada majlis meraikan kejayaan, Khusairi dengan nada kecewa memberitahu kutipan tiket untuk 2017 sehingga Julai hanya RM13 juta.

Sasaran FINAS untuk 2017 adalah RM75 juta (kutipan 2016 berjumlah RM79 juta dan Munafik menyumbang RM19 juta). Berbaki empat bulan saja, mampukah capai RM75 juta itu ? Di sisi lain FINAS harus tercabar dengan kejayaan Syamsul kerana sejak mengarah filem Evolusi KL Drift, Bohsia...Jangan Pilih Jalan Hitam, Khurafat, KL Gangster dan KL Gangster 2 majoriti tidak menggunakan dana kerajaan melalui FINAS itu. Berbanding segelintir produksi ghairah ‘sakau’ duit FINAS berjuta-juta tetapi penyudahnya filem ke laut, hasilnya masuk angin keluar asap.

Dalam meraikan kejayaan Syamsul, FINAS barangkali boleh bergandingan dengan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) untuk mewar-warkan lagi pada masyarakat mengenai kejayaan Syamsul. Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-29 kian menghampiri, kejayaan Syamsul harus dirasai juga oleh penggiat filem tanah air untuk turut berasa bangga.

Ingin dikongsi di sini bagaimana penggiat bidang nyanyian meraikan Sudirman Haji Arshad apabila muncul Penghibur No 1 Asia di Royal Albert Hall London pada 19 Mac 1989. Sebaik Sudirman tiba di Lapangan Terbang Subang (Sultan Abdul Aziz Shah) ribuan peminat menanti diketuai PAPITA (Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanahair).

Sudirman diarak lalu dibawa ke PJ Hilton untuk sidang akhbar dan penulis membuat liputan pada detik bersejarah itu untuk melihat sendiri wajah ceria Sudirman bersama pengurusnya ketika itu, Dharanee Dharan Kannan dan air mata sebak bekas pengurusnya juga sahabat penulis, Mike Bernie Chin (mendiang). Impak kejayaan Sudirman sehingga kini ramai yang masih memperkatanya berbanding Syamsul yang tidak mustahil kejayaannya akan terhakis di minda masyarakat sebagaimana kita terlupa Yasmin Ahmad itu Pengarah Terbaik Asia.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 11:26 AM