Abdul Rosik (tengah) menunjukkan pelekat sijil ketulenan (COA) Microsoft Windows 7 dan Windows 10 yang palsu di pejabat KPDNKK Shah Alam. FOTO Siraj Mohd Zaini
Abdul Rosik (tengah) menunjukkan pelekat sijil ketulenan (COA) Microsoft Windows 7 dan Windows 10 yang palsu di pejabat KPDNKK Shah Alam. FOTO Siraj Mohd Zaini
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Wanita berusia 33 tahun ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor selepas dipercayai menjual pelekat sijil ketulenan (COA) Microsoft Windows 7 dan Windows 10 palsu, petang semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, wanita berkenaan ditangkap di sebuah restoran di SS2, Petaling Jaya dan pihaknya turut merampas sebanyak 108 pelekat berkenaan yang dipercayai ditempah daripada China.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati wanita berkenaan menjualnya kepada peniaga komputer riba di sekitar Lembah Klang pada harga RM80 setiap satu pelekat berkenaan.

"Wanita berkenaan mengiklankan penjualan pelekat itu di forum perbincangan internet, media sosial dan proses pembelian pelekat dilakukan di tempat tertentu bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.

"Harga bagi setiap satu COA Microsoft tulen mencecah RM800 setiap satu, jadi dengan adanya pelekat yang mirip kepada pelekat asal, peniaga komputer dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda," katanya kepada Harian Metro.

Abdul Rosik berkata, terdapat satu perbezaan diantara sijil tulen dan palsu iaitu ia mempunyai label hologram yang tidak dapat ditiru oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, tindakan diambil mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi setiap sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 3:43 PM